Penaklukan orang-orang Monggul ke negara China dan Parsi
telah melebarkan pengaruh Islam dari sudut budaya dan perhubungan di antara negara
China dan dunia Islam. Pada zaman Dinasti Ming, kejayaan kerajaan pada masa itu
telah banyak dipengaruhi oleh pemahaman dunia islam. Pada zaman itu, ramai
muslim di negara China menyandang jawatan tinggi dalam kerajaan. Walaubagaimanapun,
pengaruh Islam telah merosot pada zaman Dinasti Qing.
Selama 500 tahun, Al-Quran bersadur emas ini
telah dibawa oleh orang Islam Arab pada zaman pemerintahan Empayar Uthmaniyah
ke Timur Turkistan (Xinjiang) ke Yunan, China dan seterusnya ke Malaysia.
Dipercayai bahawa ia telah dibuat pada kurun ke-16 hingga ke-18 dalam skrip Nasakh.
Al-Quran ini telah melalui zaman kegelapannya
pada awal kurun ke-20 kerana pada ketika itu Kerajaan China telah melarang
pembelajaran dan pengajaran Al-Quran. Tulisan Arab bersama semua rekodnya telah
dibakar termasuk banyak artifak yang mempunyai pengaruh dunia Islam telah
musnah. Walaubagaimanapun, Al-Quran’ ini telah berjaya diselamatkan dan menjadi
satu-satunya Al-Quran yang bersadur emas dari China.
Naskhah ini merupakan Al-Quran saduran emas
buatan tangan dengan pengaruh seni Islam yang sangat berharga untuk warisan
keislaman. Ia mengandungi 28 set (19-20 keping bagi setiap set). Quran ini (pengaruh
Uthmaniyah) disimpan di dalam 14 kotak bersadur. Saiz setiap kotak ialah 23.5cm
panjang, 17.5cm lebar dan 3cm tebal.
Al-Quran bersadur emas ini kini di pamerkan
di Pameran Artifak Warisan Islam yang sedang berlangsung di Balai Syed Sheikh
Al-Hadi, Bastion House anjuran Perbadanan Muzium Melaka dan Megabroadcast
Ventures (M) Sdn. Bhd bermula 28 Disember 2010 hingga 15 Jun 2011. Pameran ini
dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang serta dilanjutkan
sehingga jam 7.00 petang pada setiap Sabtu, Ahad serta cuti umum. Tiket masuk
boleh didapati dengan harga RM 12.00 untuk dewasa serta RM 5.00 untuk pelajar
dan kanak-kanak. Tiket keluarga berharga RM 30.00 juga turut dijual untuk
kemasukan 2 dewasa dan 2 kanak-kanak.
No comments:
Post a Comment