Al-Ma'unah adalah sebuah organisasi pengganas militan di Malaysia yang terkenal dengan keberaniannya melakukan pencerobohan nekad ke atas sebuah kem Rejimen Askar Wataniah pada subuh 2 Julai 2000 dan melarikan sejumlah besar senjata api daripada stor persenjataan. Kumpulan tersebut kemudiannya mendirikan pangkalan rahsianya di kawasan hutan berhampiran perkampungan di Sauk, Perak dan terlibat dalam pertempuran di antara Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Nama penuh organisasi tersebut dikenali sebagai Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Ma’unah. Laman web organisasi tersebut dikenali sebagai Al-Ma’unah dalam singkatan, sebuah pertubuhan yang terlibat dalam ilmu persilatan
yang turut menggunakan tenaga dalaman dan mempelajari ilmu perubatan
tradisional Islam. Menurut jangka waktu kononnya "Ma’unah" bermaksud
sesuatu yang amat luarbiasa akan berlaku pada golongan sederhana orang
Islam (paranormal). Pertubuhan ini dikatakan mempunyai keahlian seramai
1000 ikhwan yang berpusat di Malaysia, Brunei, Singapura, Mesir dan Arab Saudi.
Mohamed Amin bin Mohamed Razali yang merupakan pemimpin kepada 29
ahli kumpulan Al-Ma'unah mengetuai misinya untuk menggulingkan kerajaan
Malaysia. Kumpulan ini turut dianggotai seorang Mejar daripada Tentera Darat Malaysia.
Mereka berpakaian pegawai kanan tentera dan berlagak melakukan
pemeriksaan mengejut ke atas Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah di Empangan Temenggor, Gerik, Perak. Mereka berjaya memperdayakan anggota tentera di situ dan melarikan senjata-senjata di kem tersebut.




