Lagak lelaki bernama P Kalimuthu itu bagaikan negara ini tiada
undang-undang dan dia bebas berbuat apa saja mengikut kehendak nafsunya
termasuk membunuh seseorang. Pemikiran songsangnya itu menyebabkan
Kalimuthu atau digelar Bentong Kali menjadi antara penjenayah paling
berbahaya dan diburu polis pada dekad 1990-an selepas Wong Swee Chin
atau Botak Chin pada 1970-an.
Rekodnya adalah 16 kes pembunuhan sehingga polis menawarkan ganjaran
RM100,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga
tertangkapnya penjenayah kejam itu. Selain rekod pembunuhan itu, Bentong
Kali turut disyaki dalam banyak lagi kes jenayah termasuk mencederakan
polis. Bentong Kali meninggalkan jejak jenayahnya menerusi kelongsong
peluru jenis 9mm daripada pistol Sig Sauer buatan Jerman yang dijumpai
dalam kebanyakan kes pembunuhannya sebelum itu.
Penjenayah itu mula terjebak dalam kegiatan jenayah seawal usia 14 tahun
iaitu selepas dia meninggalkan alam persekolahan pada tingkatan satu.
Tiada lagi alam persekolahan seperti remaja lain, Kalimuthu menyertai
kumpulan kongsi gelap Cina 04 dan mula mengenali dunia jenayah. Atas
kesalahan tertentu, dia ditahan dan kemudian dipenjara ketika usia 19
tahun tetapi dibebaskan tidak lama selepas itu.
Dipenjara pada usia muda tidak menginsafkan Kalimuthu sebaliknya
kira-kira empat tahun selepas dibebaskan, dia kembali bergelumang dengan
dunia jenayah dengan menyertai kumpulan kongsi gelap India 08. Bersama
kumpulan haram dan rakan penjenayah baru, Kalimuthu aktif mencabar
undang-undang sekitar ibu kota iaitu di Brickfields, Segambut,Sungei Way
dan Ampang. Dia ditahan semula pada Julai 1985 mengikut Ordinan Darurat
serta pernah ditempatkan di Pulau Jerjak, Pulau Pinang tetapi
dibebaskan pada1987 bersama sekatan kediaman terhad di Kuantan, Pahang.
Dunia jenayah bagaikan matlamat kehidupannya. Peluang kedua untuk
mengubah hidup mengikut undang-undang diabaikannya apabila lelaki itu
kembali menyertai dunia jenayah. Bagaimanapun, kali ini dia tidak lagi
menyertai kumpulan jenayah sedia ada sebaliknya menubuhkan kumpulan
kongsi gelap 04 yang tertumpu di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Antara
kegiatan kumpulan 04 yang ditubuhkannya ialah aktif mengedar dadah dan
untuk kesalahan itu, Kalimuthu ditahan lagi pada April 1990 dan didakwa
mengikut Akta Dadah Berbahaya. Bagaimanapun, dia terlepas daripada
hukuman apabila bukti tidak cukup untuk mensabitkan kesalahannya.
Untuk kali kedua, dia dikenakan sekatan kediaman terhad di Gopeng,Perak,
selama dua tahun. Kalimuthu kemudian menghilangkan diri padaNovember
1984. Pada 1991, Kalimuthu dikatakan mula mengganas kembali dengan
melakukan pembunuhan demi pembunuhan sehingga menyebabkan polis mula
melancarkan Ops Buncit pada Jun 1993 untuk menghentikan keganasan lelaki
itu. Ops Buncit disertai 200 pegawai dan anggota polis termasuk dari
Kuala Lumpur, Pahang dan Selangor digerakan secara besar-besaran
membuktikan polis serius untuk memburu Bentong Kali hingga ke lubang
cacing.
Polis mengklasifikasikan profil lelaki itu sebagai bukan pembunuh upahan
sebaliknya Bentong Kali yang bergerak bersama pengikutnya sekadar
melakukan pembunuhan demi pembunuhan mengikut kehendak nafsu mereka.
Bentong Kali juga dikatakan memiliki banyak tatu dilukis pada badan
dantangannya seperti tanda palang dan ungkapan Born To Die.Pada tangan
kanannya terdapat gambar kepala harimau manakala di tangan kirinya
terukir gambar perempuan bogel, ular dan helang. Tatu dibahagian
belakang badannya pula dilukis gambar helang dan kedua-dua pahanya ada
gambar perempuan bogel. Kalimuthu turut memiliki parut kesan pembedahan
di perut.
Dalam gerakan memburu penjenayah itu, poster dikehendaki polis yang
antara lain memaparkan wajah Bentong Kali dan kegiatan jenayahnya mula
ditampal di tempat awam. Dengan ganjaran RM100,000 kepada sesiapa yang
dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah ganas itu, kes
buruan polis itu terus menjadi berita hangat. Poster itu turut diedarkan
di kawasan sempadan bagi membolehkan orangramai mengesan kehadirannya
dan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand dipertingkatkan bagi mengelak
Kalimuthu bolos ke negara jiran.
Polis terus melancarkan gerakan memburu Kalimuthu selama 24 jam sehari,
tujuh hari seminggu. Serbuan demi serbuan dijalankan untuk menjejak
penjenayah itu antaranya di lokasi yang menjadi tumpuan jenayahnya iaitu
sekitar Kuala Lumpur di Jalan Klang Lama, Brickfields, Taman Melawati,
Ampang, Balakong, Kajang, Raub dan Bentong. Pencarian pihak berkuasa
kemudian berhasil apabila Bentong Kali dikatakan keluar dari
persembunyiannya dipercayai untuk mencari seorang bekas konconya di
Jalan Klang Lama.
Intipan polis kemudian membawa kepada serbuan di markas persembunyian
lelaki itu di sebuah rumah teres dua tingkat di Medan Damansara,
KualaLumpur pada 29 Jun 1993. Subuh menjelang apabila sepasukan anggota
elit polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, mengambil posisi dan
mengepung kawasan perumahan itu. Turut menyertai operasi adalah unit
pemusnah bom. Situasi genting itu kemudian bertukar menjadi drama
tembak-menembak.Bentong Kali bersama dua pengikutnya melepaskan dua das
tembakan kepada polis yang mengepung kawasan itu.
Bagaimanapun, kedua-dua tembakan penjenayah itu tidak mengenai atau
mencederakan anggota polis. Menyedari tindakan agresif penjenayah itu
dan cubaan mereka untuk melarikan diri, polis mengambil tindakan pantas
dengan membalas tembakan. Tembakan balas sekitar jam 6.30 pagi
menyebabkan ketiga-tiga penjenayah terbabit terbunuh dengan satu das
tembakan di kepala menamatkan riwayat P Kalimuthu. Kejayaan itu
menamatkan episod das-das tembakan daripada penjenayah terbabit
sepanjang era keganasannya yang membunuh kira-kira 16 mangsa.
PROFIL
Nama: P Kalimuthu
Gelaran: Bentong Kali
Lahir : 22 Januari 1961
Asal : Bentong, Pahang
Keluarga: Anak kelapan daripada 11 beradik
No comments:
Post a Comment