Klik...Sokongan Anda Amat diperlukan

klik untuk bersama kami

Search This Blog

KLIK follow untuk Sahabat Setia

Klik untuk kembali ke Halaman Utama

23 February 2012

SBPA : Cuepacs Tuntut Kenaikan Gaji RM700-RM2500

PUTRAJAYA: Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2,500 untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kenaikan itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan dibuat menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Beliau berkata tuntutan yang dikemukakan ialah untuk Gred 1 hingga 16 kenaikan sebanyak RM700, Gred 17 hingga Gred 26 (RM1,000), Gred 27 hingga Gred 40 (RM1,500), Gred 41 hingga Gred 48 (RM1,800) dan Gred 52 hingga Gred 54 (RM2,500).

"Misalnya bagi mereka yang berada di Gred 17, gaji semasa dalam SSM ialah RM820 perlu dinaikkan sebanyak RM1,000 kepada RM1,800," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas cadangan Cuepacs pada mesyuarat pasukan petugas semakan semula SBPA di sini, Rabu.

Omar turut mencadangkan agar mereka yang berada di tangga gaji tahap maksimum atau pada tangga gaji mati perlu dibayar tunggakan kenaikan tahunan selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan selain perlu dinaikkan gred.

"Misalnya bagi mereka yang sudah terhenti kenaikan gaji sejak lima tahun lepas, sekiranya kenaikan setahun mereka ialah RM100 jadi perlu dibayar tunggakan sebanyak RM500," katanya.

Selain itu, Cuepacs turut menuntut mereka yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan pada Aras 4 sebelum Disember 2011 perlu diberi kenaikan gaji.

"Banyak aduan yang diterima apabila SBPA diperkenalkan mereka yang sudah lulus Aras 4 tidak diberi kenaikan gaji. "Ini tidak adil kerana bukan mudah untuk mendapat lulus Aras 4, terpaksa berkorban baca buku siang malam tapi bila dah lulus tidak dinaikkan gaji, sia-sia sahajalah usaha mereka," katanya.

Omar berkata tuntutan Cuepacs itu dirasakan sesuai memandangkan mereka yang di kedudukan atas daripada Gred 54 telahpun menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA. "Kalau betul kerajaan berhasrat untuk merapatkan jurang antara pegawai rendah dengan atasan maka tuntutan itu adalah dirasakan wajar, apa yang Cuepacs lakukan ialah untuk menuntut kesaksamaan," katanya.

Beliau berkata terpulang kepada pasukan petugas SBPA untuk menilainya dan jika merasakan tuntutan itu melibatkan kos yang tinggi, Cuepacs mencadangkan gaji kumpulan yang menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA dikurangkan dan disalurkan kepada gred bawahan.

"Jika tidak boleh juga...apa yang terkandung dalam SPBA sekarang perlu ditukar keseluruhannya dan digantikan dengan terma-terma yang baru," katanya.-BERNAMA

Sehingga kini kita masih belum mengetahui sejauh manakah tindak balas yang bakal dilakukan oleh kerajaan berhubung tuntutan CUEPACS ini. Seharusnya kerajaan mengambil keputusan sewajarnya demi kepentingan seluruh kakitangan kerajaan yang merupakan tulang belakang kepada kerajaan. 

Sekiranya diteliti apa yang disarankan oleh CUEPACS sememangnya tepat dan berasas. Apapun kenaikan yang sepatutnya diterima oleh kakitangan kerajaan biarlah dalam lingkungan peratusan yang munasabah. Adalah tidak wajar sama sekali sekiranya gred bawah hanya menerima kenaikan beberapa peratus sahaja sedangkan gred utama menerima kenaikan yang sangat ketara. 

Memang kita tidak menafikan sumbangan mereka namun apapun biarlah secara adil dan saksama. Golongan akar umbi juga memainkan sumbangan besar bagi memastikan pentadbiran kerajaan berjalan dengan cekap dan sempurna. Maka seharusnya kerajaan mengambil tindakan pantas bagi menyelesaikan tuntutan ini bagi mengembalikan semula reputasi kerajaan...

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...