Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) hari ini sekali
lagi mengadakan kejutan dengan meraikan pengunjung ke 333,333 orang sepanjang
tahun ini. Pengurus Besar PERZIM, Haji Khamis bin Haji Abas yang ditemui
dalam satu majlis ringkas hari ini memaklumkan ianya diadakan sebagai tradisi
PERZIM menghargai serta berterima kasih kepada pengunjung-pengunjung yang telah
menjadikan muzium-muzium di Melaka sebagai satu destinasi pilihan yang wajib
ketika berkunjung ke Bandaraya ini.
Seorang pengunjung bertuah,
En. Nurman bin Husni (36) dari Kota Tinggi, Muar terpilih sebagai pengunjung ke
333,333 pada tahun ini. Beliau yang ditemani isteri, Puan Siti Zaharah bte
Talib (36) serta dua anak beliau Nurhanis Sofia (7) dan Mohamad Haziq Syahmi
(4) merasa bertuah apabila terpilih sebagai pengunjung istimewa PERZIM. Beliau
menerima sijil khas sebagai pengunjung ke 333,333 orang yang disampaikan Haji
Khamis serta pas masuk percuma ke muzium-muzium milik PERZIM, cenderamata
berupa plak serta barangan keluaran PERZIM, tiket percuma ke Menara Taming Sari
dan River Cruise serta hamper.
‘Saya merasa bertuah malah
tidak percaya saya terpilih sebagai pengunjung ke 333,333 orang. Pastinya saya
akan mengingati detik ini sepanjang hayat saya’, ujar beliau sambil memuji
usaha yang dilakukan PERZIM bagi menarik kunjungan orang ramai dengan
memberikan penghargaan seperti ini.
Mengikut statistik PERZIM, jumlah
pengunjung yang melawat muzium-muzium pada tahun ini telah meningkat berbanding
sehingga Jun 2010 iaitu seramai 319,341 orang sahaja.
‘Insya Allah, saya yakin kami
mampu mencapai sehingga 350,000 beberapa hari lagi,’ ujar beliau sambil mengharapkan
sasaran pengunjung PERZIM pada tahun ini iaitu seramai 1,000,000 orang mampu
dicapai kelak.
Pelbagai usaha berterusan telah dijalankan PERZIM
bagi menjadikan muzium sebagai destinasi pelancongan terunggul dan popular yang
wajib dikunjungi oleh pengunjung tidak kira dalam mahupun luar negara. Usaha
promosi ini akan terus diperhebatkan
lagi disamping terus menjalin kerjasama erat dengan agensi-agensi berkaitan
serta memperkenalkan semua produk-produk pelancongan yang terdapat di Melaka agar Melaka dijadikan sebagai destinasi
pelancongan yang mesti dikunjungi di Malaysia.
’Pelbagai pilihan kami sajikan kepada pengunjung,
daripada bermalam di dalam muzium samada di Replika Flor De La Mar, Muzium Istana Kesultanan Melaka atau Muzium
Pulau Besar hinggalah ke pelbagai pameran khas yang sedia menanti pengunjung’,
tambah beliau lagi sambil memaklumkan PERZIM akan mengadakan pameran Seni Solo
Nuansa Senibina Islam oleh Sharul Amin Kamarazaman bertempat di Lobi Muzium
Sejarah dan Etnografi bermula 15 Jun hingga 31 Julai 2011.
No comments:
Post a Comment