Perairan Malaysia merupakan salah satu laluan penting di dunia. la telah digunakan oleh para pedagang dari China, Siam, India, Parsi, Tanah Arab dan Nusantara sejak awal kurun Masihi lagi atau lebih lama dari itu. la bukan sahaja menjadi tali penghubung tamadun manusia sejagat, tetapi turut merakamkan banyak kisah tragis yang menenggelamkan banyak kapal.
Usaha-usaha untuk mencari dan mengenal-pasti lokasi kapal karam ini telah dilakukan sejak tahun 1980-an oleh beberapa pihak yang mempunyai kepentingan tertentu. Kerja-kerja yang sistematik dan mengikut kaedah arkeologi maritim bermula pada tahun 1995 apabila Jabatan Muzium dan Antikuiti membuat salvaj terhadap kapal perang Belanda, Nassau di Port Dickson, Negeri SembiIan.
Walaupun sebahagian daripada muatannya mungkin mempunyai nilai komersial yang tinggi namun nilai sebenar keseluruhan kapal tersebut adalah terlalu berharga kepada negara. Justeru, adalah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk bertanggungjawab terhadap setiap kapal karam yang terdapat di perairan negara ini.
DESARU
Tapak kapal ini ditemui pada Mei 2001 pada kedalaman 20 meter, terletak lebih kurang 2 batu nautika dari Pantai Desaru, Johor. Merupapakan sebuah kapal dagang dari China jenis 'Junk' dengan muatan seramik hampir 10 %. Kapal ini berukuran 30 meter panjang dan 7 meter lebar dan dipercayai karam akibat terlanggar batu karang. Rangka kapal dipercayai diperbuat dari kayu jenis 'pine' manakala dinding kapal jenis 'cedar'.
Berdasarkan teknik pembuatan melintang serta kayu beriklim sederhana yang digunakan, dapat disimpulkan bahawa kapal ini diperbuat dari China. Muatan berupa seramik yang dibawa juga mempunyai persamaan dengan khazanah yang ditemui pada Diana, sebuah kapal karam yang ditemui di Melaka yang karam pada awal abad ke 19.
DIANA
Setelah 178 tahun bersemadi di perairan Selat Melaka, Kerajaan Malaysia menawarkan Malaysian Historical Salvers untuk mencari tinggalan Diana pada 21 Disember 1993. Setelah 3 tahun menjalankan kajian sekitar 28 kilometer persegi, akhirnya lokasi Diana ditemui bersama 11 lokasi kapal karam lainnya berhampiran Melaka.
Diana ditemui berhampiran loji penapis minyak Petronas di Tanjung Kling, Melaka pada kedsalaman 34 meter kira-kira 8 batu nautika atau 3,7km dari pantai. Mempunyai muatan seramik China jenis 'biru-putih' berupa pinggan mangkuk, set teh, bekas penyimpan sayur dan buah-buahan. Turut ditemui bersamanya Teh Hijau, butiran kaca, halia yang tersimpan baik, ginseng, kapur barus, rhuhab (sejenis tumbuhan hidup yang boleh dimakan).
Diana dikenal pasti menerusi beberapa kotak yang tertulis 'GC & Co. MADRAS, No 2' dan 'Keep this side up' yang masih berkeadaan elok dan sempurna.
RISDAM
Kapal ini dipercayai milik Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) dan dibina pada 1713 untuk Chamber of Horn. Seberat 520 tan dengan binaan kayu 46 meter panjang, 15 meter lebar dan 12 meter tinggi. Menurut rekod kapal ini belayar ke Indonesia pada 27 November 1714 dan sampai di Batavia pada 22 April 1715 dengan 119 anak kapal.
Risdam kemudiannya dipanggil pulang dan tiba di Belanda pada 30 Julai 1718 dengan 87 anak kapal. Pelayaran kedua ke Batavia pada 16 November 1718 dan sampai pada 31 Ogos 1719 dengan membawa 162 orang anak kapal. Kapal ini kemudiannya karam selepas mengalami kebocoran.
Risdam dibongkar khazanahnya oleh rakyat Singapura pada 24 April 1984 yang kemudiannya dilaporkan kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti, Jabatan Kastam dan Kerajaan Johor menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Singapura.
Operasi salvaj kemudiannya dijalankan oleh H.C Besancan, ahli dari Dutch East Wreck Foundation yang meneliti rekodnya di arkib Belanda. Beliau kemudiannya menjalankan survei bersama Michael Hatcher dan mendesak Kerajaan Belanda melakukan rundingan dengan Kerajaan Malaysia untuk menjalankan salvaj. Setelah gagal, beliau kemudiannya menjalankan pembongkaran secara haram.
Operasi penyelamatan Risdam kemudiannya dijalankan 9-30 Mei 1984 dan 11-20 Jun 1984 menerusi Jawatankuasa Menyelidik dan Menyelamat Harta Karun/Purba Negeri Johor di bawah naungan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Johor dengan bantuan TLDM dan Jabatan Muzium dan Antikuiti. Beberapa artifak antaranya kayu balak, tempayan, jongkong timah, gading gajah dan kompas ditemui.
XUANDE
Ditemui pada 1996 kira-kira 60 batu nautika dari Terengganu pada kedalaman 52 meter. Walaupun tidak ditemui sebarang struktur kapal namun banyak bukti dikaitkan dengan karamnya Xuande di sana. Kemungkinannya struktur kapal ini diperbuat dari kayu jenis lembut.
Sebanyak 170 keping porselin biru-putih serta 130 seramik bercorak bergerlis alas (under glazed) Sukhotai dan Sisatchanalai ditemui tertimbus dalam lumpur. Enam biji porselin tercatat tanda Maharaja Xuande (1425-1436) bercampur dengan porselin dari kurun ke 16. 2 unit meriam gangsa bercirikan Portugis yang mungkin diperbuat di Asia Tenggara mengukuhkan lagi pentarikhannya.
Ketiadaan seladon buatan Sisatchanalai pada Xuande dan Kapal karam Singtai memberi gambaran ianya hanya membawa barangan seramik bergerlis buatan Sisatchanalai dan Sukhotai. Sisatchanalai tidak lagi mengeksport seladon, manakala Sukhotai pula menghentikan pengeluaran pinggan bercorak ikan dan bunga. Ini disebabkan mangkuk jenis lingkaran solar mula digemari. Selain seramik dan tembikar, dua buah meriam tembaga turut ditemui dengan taburan artifak dalam lingkungan 28 x 8 meter.
LONGQUAN
Kapal ini ditemui di perairan Terengganu pada tahun 1996 pada kedalaman 63 meter. Dipercayai berasal dari China pada zaman Dinasti Ming (1368-1644). Antara artifak yang ditemui termasuklah seladon China, seladon Sisatchanalai dan tembikat Sukhotai dari Thailand.
Penyelidikan hanya dilakukan pada permukaan tapak sahaja serta jumpaan artifak. Saiz kapal ini 30 meter manakala kayu alangnya sepanjang 8 meter. Semenjak ditemui pada 1996, struktur kapal mengalami kerosakan akibat aktiviti nelayan pukat tunda di sekitar lokasi penemuannya.
Nanyang merupakan kapal karam terawal yang mempunyai corak seladon Sisatchanalai, sekitar lewat kurun 14. Ditemui pada 1995 kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Pemanggil, Terengganu dengan kedalaman 54 meter.
Kapal ini dikategorikan sebagai kapal Laut China Selatan dengan teknik pembuatan dari China dan Asia Tenggara dengan 18 meter panjang dengan tiang layarnya setinggi 5 meter. Badan kapal yang dibina secara bercantum mempunyai persamaan dengan teknik binaan kapal di Terengganu.
Usaha ekskavasi masih tidak dapat dijalankan sepenuhnya dengan beberapa ratus kepingan seramik seladon Sisatchanalai sahaja dikeluarkan bagi tujuan penyelidikan antaranya kendi tangkai bulat, pinggan seladon besar, mangkuk kecil dan tembikar tanah. Tempayan-tempayan besar yang ditemui mempunyai persamaan dengan jumpaan kapal Longquan.
NASSAU
Merupakan sebuah kapal milik Dutch United East India Company (VOC) yang tertubuh pada 1602. Ditemui berhampiran Bambek Shoal, kira-kira 5 km dari luar Port Dickson. Nassau dipercayai karam setelah tewas dalam pertempuran Cape Rachado dengan Portugis pada 16 Ogos 1606 berhampiran Tanjung Tuan, 14 km dari selatan Port Dickson. Pertempuran terjadi akibat tindakan VOC yang cuba menganggu kepentingan Portugis yang menjadikan Melaka sebagai pelabuhan utamanya di timur.
Operasi salvaj ke atas Nassau merupakan operasi penyelamatan yang termahal di Malaysia yang dijalankan pada Ogos hingga Disember 1995. Usaha dilakukan oleh Transea Sdn. Bhd. dengan kebenaran Kerajaan Malaysia di bawah pemerhatian Mensun Bound, Oxford University, Jabatan Muzium dan Antikuiti, Jabatan Laut dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Hampir 5000 artifak ditemui antaranya senapang besi dan gangsa, dua sauh besi, peluru plumbum, seramik dari Eropah Utara, tempayan martaban dari Asia Tenggara, topeng dari Bellormine dan barangan pluter.
RANEE (1923)
Dibina di Lubeck, Jerman pada tahun 1906 kepunyaan Straits Steam Ship Co. Binaan kapal dari keluli dengan kipas berkembar seberat 317 tan.
Ranee karam pada 14 Mac 1923 dalam perjalanan ke Singapura dengan muatan bijih timah, getah dan rotan setelah terlibat perlanggaran dengan Boribat, di perairan Sedili, Johor. Seramai 31 orang terbunuh dengan tempoh karaman selama 10 minit.
Ranee turut tenggelam bersama barangan hantaran perkahwinan milik Tunku Mohammed. Tunku Mohammed dijangka melangsungkan perkahwinannya dengan kerabat di Raja Perak di Kuala Kangsar, Perak.
Antara artifak yang ditemui semasa tinjauan awal ialah pengesan dasar, bekas penutup botol, butang baju emas dan penutup kaca.
* maklumat diperolehi dari Jabatan Muzium Malaysia menerusi Pameran Khazanah Kapal Karam di Galeri 2, Muzium Negara bermula 15 Ogos 2011 hingga 1 Januari 2012
JOM KITA KE SANAAA....
ReplyDeletex tahu pun ada pameran ni, kena bayaran masuk ke?
ReplyDelete