Suasana penuh hening. Alunan kalimah tauhid dilafaz penuh
tertib. Dapat dirasakan kehadiran dua lembaga serba putih berdiri tegap di
sebelah kiri dan kanan sedikit terkebelakang berhampiran sudut ruang itu.
Pedulikan… tiada apa yang perlu dirisaukan ketika hati meruntun tunduk
menghadap Ilahi.
Tiada apa yang kelihatan di dalam bangunan kecil ini kecuali
sebuah makam seorang raja yang kurang dikenali namun diyakini seorang yang
zuhud kepada penciptanya. Selain itu terlihat sebuah dupa tembaga yang agak
besar saiznya sesuai dengan martabat baginda sebagai seorang Sultan.
Dapat dirasakan penutup dupa tembaga itu perlahan-lahan turun
entah kenapa. Tiada bunyi yang kedengaran seolah ada tali yang mengikatnya
turun. Entah bagaimana pula muncul kelibat seseorang lagaknya bersemayan di
atas singgahsana namun semacam terapung berada betul-betul di hadapannya.
Terlihat sebuah lubang kecil di tengah-tengah makam tersebut seolah
mengeluarkan kabut putih. Ya, bukan asap kerana kabut putih ini tidak bergerak
ke mana-mana.
Tidak jelas kelibat empunya gerangan kerana aura yang
dimilikinya menenggelamkan jasad. Jelas begitu hebat lagak dan gayanya. Tanpa
membantah kepala lantas tunduk menerima entah apa kalungan. Tangan kemudiannya
menyambut dua keris berlainan saiz yang begitu halus tampaknya yang disaluti
dengan emas. Apakah emas sebenarnya? Agak sukar membuat penaksiran memandangkan
kedua-dua keris juga mempunyai auranya yang menenggelamkan sifatnya sendiri.
Bagaikan diatur sebatang tongkat pula berada dalam genggaman. Tongkat hitam
dengan kepalanya yang terlihat hebat dan begitu berkuasa. Di hiasi dengan
pelbagai batu pertama diletakkan dengan bentuk bertingkat semacam piramid.
Cahaya yang terhasil juga bukan kepalang perinya.
Entah bagaimana pula di kepala tersarung sesuatu. Entahkan serbankah
atau songkokkah? Bertingkat-tingkat dan saling tak tumpah seperti kepala
tongkat jua bentuknya. Tersarung juga pakaian yang entah dari mana datangnya
terhias kemas dengan jubah hitam penuh hiasan yang indah-indah. Ya… pakaian
seperti yang pernah digayakan Laksamana Cheng Ho.
Sesekali cahaya putih yang bersinar indah terlihat dari jelah
jari jemari yang menggenggam erat tongkat. Dengan penuh yakin tongkat dihentakkan
ke tanah. Suasananya sangat dramatik… tiada langsung gegaran namun dari puncak
bukit itu dapat dilihat aura yang terhasil bergerak ke seluruh daratan lagaknya
seperti impak bom nuklear seperti yang sering disaksikan di televisyen. Dapat
disaksikan gelombang itu merentasi daratan dan lautan disambut dengan gegak
gempita kedengaran dua kali dari Meriam Penggawa Petoi Boga dari puncak sebuah
bukit di utara.
Hebatnya gelombang aura tidak terhenti setakat itu sahaja
namun terus bergerak semakin perlahan namun begitu jauh ke utara Siam, seluruh Sumatera dan utara Australia di
Selatan. Di sebelah timur terlihat sehingga ke Filipina di utara dan Kepulauan
Makassar di selatan namun seolah terhenti di Kepulauan Borneo.
Tiba-tiba
lamunan terhenti, mendayu-dayu Azan Isyak memanggil agar disegerakan yang
fardhu… Ya, aku perlu terus tunduk kepada Pencipta ku.
p/s : ada gaya penulisan novel tak? Mohon pandangan jujur anda...
Boleh buat cerpen bersiri ni..
ReplyDelete