Apakah benar Melayu telah kembali bersatu? Adakah 16
September 2015 ini menjadi titik tolak kepada perpaduan bangsa Melayu yang
nyata sekian lama semakin jauh dan merapuh sambil dihiasi dengki dan khianat
yang menjadi darah dagingnya? Apakah dengan mengadakan satu perhimpunan besar
di sebuah kawasan yang didominasi oleh orang Cina ini akan melambangkan perpaduan
Melayu? Bagaimana kalau sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal dan timbul
pula rusuhan besar yang kemudiannya akan merebak ke seleruh Negara. Kalau
begitu agendanya, mungkin ada hikmahnya… eloklah persediaan dibuat oleh ATM
bagi mengambil alih pemerintahan Negara.
Tiba-tiba teringat pada papan catur. Di mana sahaja watak
yang anda pegang di atas papan catur anda perlu sentiasa ingat bahawa anda
sedang dicaturkan!
Ada baiknya kita mencari sesuatu yang pasti. Mencari
penyelesaian bagaimana taraf ekonomi bangsa Melayu perlu dipertingkatkan.
Sekadar memberi contoh… adakah anda masih ingat lagi suasana
di Bandar Hilir, Melaka pada tahun 80 an dulu? Masihkah anda mengenali peniaga
kraftangan yang beroperasi berhampiran
kolam renang suatu ketika dulu? Bagaimanakah keadaannya sahabat-sahabat kita
yang membuka kedai makan di tapak Menara Taming Sari sekarang? Berapa ramai
kalangan kita yang mengenali peniaga-peniaga kraftangan yang berniaga di kawasan
Bastion House? Bagaimana keadaannya peniaga-peniaga Melayu yang membuka kedai
makan di hadapan JPJ yang kini bertukar menjadi hotel 5 bintang yang gah di
Melaka? Bagaimana pula peniaga-peniaga Melayu di bangunan MARA di hadapan
gereja?
15 April 1989 Melaka diistiharkan sebagai Bandaraya
Bersejarah dan menikmati pula taraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh UNESCO
pada 7 Julai 2008. Kalau melihat pada fakta ini kita pastinya terfikir betapa
peniaga-peniaga Melayu yang berniaga dahulu sangat beruntung dan pastinya kaya
raya bergelar jutawan dan mampu pula melahirkan ramai peniaga-peniaga lainnya.
Tetapi semua ini tidak berlaku. Semua peniaga-peniaga Melayu
di kawasan yang dinyatakan di atas kini berhempas pulas meneruskan perniagaan
mereka di lokasi baru yang kurang strategik malah ramai juga yang gagal dikesan.
Pelan pembangunan Bandar di Melaka melupai mereka. Kalau adapun kebanyakan
mereka beroperasi di Dataran Pahlawan serta berniaga dalam keadaan yang sekadarnya
dengan sewa premis yang mahal dan disorokkan pula di kawasan yang sukar
ditemui. Kecuali di Medan Samudera dan Bangunan Stadhuys manakala di kawasan
lainnya peniaga Melayu ibarat melukut di tepi gantang. Perniagaan masih
diteruskan namun keadaan hidup masih sama dan tiada apa yang boleh dibanggakan.
Sahabat kita dari bangsa lain langsung tidak boleh dibuat
perbandingan. Sekadar melihat deretan kedai kraftangan di kawasan Perigi Raja,
Bukit China yang boleh dikategorikan sebagai tertinggal dari segi barangan dan
kemudahan namun nyata unggul dari segi pendapatan. Kenapa? Ini kerana mereka
mendapat sokongan agensi pelancongan yang membawa puluhan bas ke kawasan itu
setiap hari. Bagaimana di Stadhuys yang juga mempunyai puluhan bas pelancong
setiap hari?
Amat menyedihkan kerana para pelancong seakan diberikan tips oleh
agensi pelancongan agar tidak membeli barangan di sana.
Inilah hakikat yang berlaku di sini. Peniaga Melayu di Bandaraya
Warisan Dunia boleh dikira dengan jari dan mereka sering tersepit dan ketinggalan
kerana perniagaan di sini didominasi oleh bangsa lain. Kalau ingin melihat
Melayu yang ramai berniaga hanyalah pengusaha beca yang sebenarnya juga
terhimpit dan ditekan dengan pelbagai masalah.
Kesimpulannya… tak perlulah tunjukkan kekuatan dengan
berhimpun beramai-ramai yang tidak diketahui jelas faedahnya untuk bangsa
Melayu. Adalah amat wajar sekiranya pejuang-pejuang Melayu ini tampil membela
bangsa Melayu dengan mendesak kerajaan membantu dan terus membantu menaikkan
ekonomi Melayu. Sedarlah, dalam kerancakan pembangunan Melaka sebenarnya sedar
tak sedar Melayu semakin tersisih malah akan terus disisih di bumi sendiri.
Pilih… jalan mana yang anda inginkan untuk menjadi PEJUANG
BANGSA?
Hidup Melayu.. Hidup..
ReplyDeleteSetuju sesangat..
ReplyDelete