 |
| TERIMA...anggota polis membawa tulang Mohammed untuk diserahkan kepada keluarganya. |
 |
| MOHAMMED...maut nahas pesawat Douglas DC-3 |
PENERBANGAN pada 25 Ogos 1950 itu sama seperti misi serupa yang pernah
dilaksanakan sebelumnya oleh krew pesawat Douglas DC-3 Dakota (KN630)
Tentera Udara Diraja Britain (RAF).
Sejak beberapa minggu lalu, hutan tebal Gua Musang menjadi lokasi utama
krew Nombor 52 Skuadron RAF ini. Mereka ditugaskan mengesan kedudukan
gerila Parti Komunis Malaya (PKM) yang kuat bertapak di situ.
Melalui kokpit hadapan, juruterbangnya, Leftenan Udara Edward Robert
Talbot, RAF melihat paparan meter serta paras ketinggian pesawat yang
dibantu jurumalim, Sarjan (Udara) Geoffrey Clarence Carpenter.
Seorang lagi krew pesawat Dakota KN630 ini ialah jurusemboyan, Sarjan Udara Thomas O'Toole, RAF.
ANGGOTA tentera menggali tanah untuk mencari
tulang mangsa nahas pesawat.
Turut serta dalam penerbangan hari itu ialah pegawai Loyal Regiment,
Mejar JH Proctor yang ditumpangkan bersama Batalion Kedua Askar Melayu,
selain empat anggota Royal Air Service Corp (juga tentera British) yang
mengendalikan kargo pesawat, seorang pegawai kerajaan Kelantan berbangsa
Inggeris dan tiga rakyat tempatan.
Misi Dakota KN630 hari itu ialah untuk menggugurkan
smoke marker bagi membantu operasi pengeboman ke atas lokasi komunis yang dikenal
pasti oleh lapan pesawat pengebom Lincoln Bombers yang terbang tidak
jauh dari situ.
Malangnya, pesawat ini terputus hubungan dengan menara kawalan. Ia
dipercayai terhempas di Mukim Galas di tengah-tengah hutan tebal Gua
Musang.
Rahang Tulang gigi
Tinjauan udara oleh pesawat RAF kemudian mengenal pasti lokasi pesawat
terhempas sebelum mengerahkan sepasukan anggota tentera ke kawasan
tersebut.
Namun, mereka hanya berjaya mengesan lokasi nahas sembilan hari
kemudian. Atas faktor keselamatan dan kesukaran membawa mangsa keluar,
kesemua yang terkorban dikebumikan di sebuah lokasi berhampiran bangkai
pesawat terhempas.
Itu cerita 58 tahun dulu. Tetapi, bagi waris salah seorang krew pesawat
ini, Dennis Carpenter, 78, berita kehilangan abangya, Sarjan (Udara)
Geoffrey Clarence Carpenter masih misteri. Biarpun keluarganya
diberitahu keluarga mereka terkorban, tetapi nalurinya tetap ingin tahu
di mana lokasi sebenar jasad abangnya disemadikan.
Setelah beberapa kali berusaha, akhirnya sepucuk surat beliau yang
dialamatkan kepada Atase Pertahanan Malaysia di Britain, Kolonel Mohd.
Tajri Alwi dibalas.
Sarjan Ramli Abdullah mengetuai bacaan doa sebelum memulakan
penyelidikan ke atas bangkai pesawat
Walaupun jawapan yang diterima ringkas, tetapi kesediaan Mohd. Tajri
membantu mengesan kedudukan pesawat malang tersebut terhempas cukup
menggembirakan beliau.
Dennis kini menetap di Croyden dekat selatan London. Dalam suratnya,
Carpenter turut menyertakan koordinat dan lokasi pesawat itu dipercayai
terhempas.
Semuanya berdasarkan maklumat yang diperolehnya daripada RAF dan penyelidik perang di sana.
Mohd. Tajri kemudian memanjangkan perkara tersebut kepada Kementerian
Pertahanan (Kementah) sebelum mengarahkan Markas Briged Ke-8 Infantri
Kem Pengkalan Chepa melakukan pencarian tersebut.
Bagaimanapun, kedudukan hutan tebal Gua Musang menyukarkan kerja-kerja untuk menjejaki kedudukan pesawat tersebut.
Kapten Zuraiman Abd Ghani membawa bekas berisi cebisan tulang
penumpang pesawat DC-3 Dakota
Berpandukan maklumat yang terhad itu, anggota Briged Ke-8 melakukan tiga misi.
Mereka berjaya menemui lokasi sebenar bangkai pesawat pengangkut itu kira-kira tiga kilometer dari Kampung Penchong. Untuk ke sana,
ia mengambil masa lima jam perjalanan dari bandar Gua Musang.
Menurut Panglimanya, Brigedier Jeneral Azizan Md. Delin, pencarian pertama dilakukan pada bulan Jun lalu, tetapi gagal.
"Atase Pertahanan Malaysia di Britain melalui Markas Tentera Darat (Mk
TD) meminta briged ini membantu mendapatkan fakta tepat mengenai lokasi
dan tanah perkuburan krew pesawat itu. Mereka menjumpainya pada 19 Jun.
"Pasukan mencari seramai 15 anggota diketuai Kapten Muhamad Isa Hassan itu
dibantu dua jurupandu Orang Asli tempatan dan dua anggota Kor Risik
menggunakan tiga kenderaan pacuan empat roda.
Antara barang yang ditemui
"Bagaimanapun, lokasi kemalangan yang terletak jauh di tengah-tengah
belantara Mukim Galas yang sukar dilalui dengan kenderaan, selain
terdedah kepada ancaman binatang buas menyukarkan usaha tersebut,"
ujarnya.
Menurut Azizan, pasukan pencari terpaksa berjalan kaki kira-kira dua jam
untuk sampai ke satu kawasan kaki bukit. Ia berdekatan sebatang anak
sungai di mana pesawat Douglas DC-3 Dakota itu dipercayai terhempas.
Hasil penemuan tersebut, Panglima TD, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail
Jamaluddin telah mengutus surat kepada rakan sejawatnya di Britain,
Jeneral Sir Richard Dannat. Beliau menyatakan kesediaan dan komitmen
untuk memberikan kerjasama kepada kerajaan British.
Dua tinjauan susulan telah dilakukan Muzium TD iaitu pada 15 hingga 19
September dengan diiringi oleh wakil Markas 8 Briged, manakala tinjauan
kedua pada 15 hingga 19 Oktober disertai pihak Polis Diraja Malaysia
dari Bukit Aman dan Muzium PDRM.
Semasa tinjauan kedua, pihak Muzium TD telah melaksanakan kerja-kerja 'pengesanan tapak' menggunakan peralatan
electromagnetic surveyer.
Ia bertujuan mengesahkan kewujudan rangka manusia di kawasan yang
dikenal pasti. Namun berkemungkinan disebabkan faktor tulang yang telah
rapuh dan terurai, kesan tindak balas magnetik amat lemah.
Hasilnya, Markas TD kemudian memutuskan agar misi evakuasi bangkai
pesawat Douglas DC-3 Dakota (KN630) RAF ini dilaksanakan sepenuhnya.
Diberi nama Ekspedisi Garis Waktu KN 630, ia diketuai oleh pihak Muzium
TD. Tujuannya untuk membawa keluar rangka manusia dan beberapa peralatan
penting pesawat dari lokasi nahas.
Ekspedisi ini juga mendapat kerjasama dan gabungan kepakaran pelbagai
unit-unit TD, khasnya Markas 8 Briged, polis, wakil kerajaan Britain dan
pakar-pakar forensik Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.
Turut serta dalam misi yang bermula 2 hingga 12 November itu ialah
kakitangan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Jabatan Perhutanan
serta penyelidik daripada Kumpulan Sejarah Malaysia (MHG).
Penggalian dua kawasan busut yang dipercayai krew pesawat malang itu
ditanam berjaya menemui beberapa tinggalan tulang-temulang manusia.
Ini termasuklah cebisan pakaian seragam dan kasut.
Proses evakuasi berjaya diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan. Pada
12 November 2010, rangka kru pesawat malang Dakota (KN630) RAF berjaya dibawa
keluar setelah 58 tahun bersemadi di hutan Gua Musang.
Setelah melalui perjalanan selama 10 jam, kesemua rangka seperti cebisan
tengkorak dan tulang yang diisi di dalam 12 bungkusan plastik kecil
tiba di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,
Kelantan pada pukul 9.30 malam bagi proses ujian DNA.
Pasukan evakuasi Markas Tentera Darat (TD) yang diketuai Muzium TD itu
terpaksa memilih jalan darat setelah helikopter Nuri tidak dapat
mendarat di kawasan tersebut kerana faktor cuaca. Penyerahan kesemua
rangka yang siap bertanda yang diisi di dalam kotak plastik kepada HUSM
oleh Pengarah Muzium TD, Lt Kol Norhayati Mansor kepada Timbalan
Pengarah HUSM, Dr. Mohd. Rosdi Abd. Rahman.
Menurut Mohd. Rosdi, dengan sampel yang ada, pihaknya dijangka memulakan
ujian tersebut pada bila-bila masa sebelum memaklumkan hasilnya kepada
pihak Muzium TD untuk tindakan seterusnya.
"
Proses
ujian DNA yang diketuai oleh Ketua Pasukan Forensik HUSM, Dr. Zafarina
Zainuddin dijangka mengambil masa sebulan bagi mengenal pasti identiti
krew pesawat Dakota RAF itu.
"Sejak 3 November lalu, beliau turut sama dengan pihak Tentera Darat
dalam Ekspedisi Garis Waktu pesawat Dakota ini di Gua Musang," jelasnya.
Sementara itu, kenyataan daripada Markas TD memberitahu, kejayaan misi
ini akan disusuli dengan beberapa pencarian serupa bertujuan untuk
mendokumentasikan peristiwa bersejarah berkaitan ketenteraan tanah air.
"Bermula dengan pencarian pesawat pengebom B-24 Liberator di sempadan
Malaysia - Thailand pada Julai 2008, misi pesawat Dakota KN630 ini
merupakan misi ketiga Ekspedisi Garis Waktu.
"Pihak
kita merekodkan 30 pesawat tentera yang dikenal pasti terhempas di
Tanah Melayu sejak 1945 hingga 1951, antaranya lapan jenis Dakota
termasuk sebuah terhempas di Serendah, Selangor," ujarnya.
Al-Fatihah buat Mohammed Abdul Lalil@Jalil
KUALA
LUMPUR: Cebisan rangka milik Konstabel 9364 Mohammed Abdul Lalil @
Jalil yang terkorban selepas pesawat Douglas DC-3 dinaikinya terhempas
pada 1950 dan sudah dikenal pasti melalui ujian Asid Deoksirinueklik
(DNA) selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid Bukit
Treh, Muar Johor, tengah hari, semalam.
Mohammed
adalah antara 12 mangsa yang menyertai operasi pengguguran smoke marker
pada 25 Ogos 1950 bagi menentang komunis dalam hutan tebal Gua Musang,
Kelantan.
Pengarah Muzium Tentera Darat Malaysia (TDM), Leftenan Kolonel Norhayati
Mansor berkata, selepas hampir 60 tahun disemadikan berhampiran
pesawat, Tentera Darat (TD) melalui Unit Muzium menjalankan Ekspedisi
Garis Waktu untuk mengeluarkan semua mayat mangsa.
Menurutnya,
ekspedisi itu dibuat selepas menerima permohonan tuntutan daripada
waris keluarga mangsa di Pejabat Pertahanan Malaysia, London pada awal
2008 yang ingin mengetahui jasad dan lokasi sebenar ahli keluarga mereka
disemadikan.
“Operasi itu bermula pada 2 hingga 12 November 2008 mendapat kerjasama
Polis Diraja Malaysia (PDRM), wakil kerajaan Britain dan pakar forensik
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian serta penyelidik
daripada Kumpulan Sejarah Malaysia (MHG).
“Hasilnya, semua rangka termasuk cebisan tengkorak dan tulang dibawa
keluar di dalam 12 bungkusan plastik kecil sebelum diserahkan ke Unit
Forensik HUSM.
“Namun,
selepas 15 bulan ujian DNA dilakukan, hanya tiga mangsa saja dikenal
pasti iaitu dua daripadanya ialah warga British, iaitu Koperal F Bryant
dan Dvr P Taylor,” katanya pada Majlis Penyerahan Cebisan Tulang
Mohammed di Auditorium, Hospital Tuanku Mizan, dekat sini, semalam.
Pada majlis itu, satu majlis tandatangan penyerahan cebisan tulang
Mohammed dilaksanakan antara Muzium TD dengan Muzium PDRM sebelum
cebisan itu dihantar ke Bukit Aman untuk dikafankan dan disembahyangkan
serta diserahkan kepada keluarga mangsa. - mymetro