Gambar sekadar hiasan |
Dari kejauhan para tetamu dan jemputan mengambil tempat
duduk khas yang telah disediakan. Kedatangan para pembesar disambut hormat oleh
semua dan diberikan kerusi khas di tengah pentas utama. Tersedia juga minuman
dan makanan yang dihidangkan di hadapan meja mereka.
Pengerusi mengalu-alukan kedatangan para pembesar dan juga
semua hadirin. Majlis dimulakan dengan ucapan beberapa pembesar negeri. Ucapan
dimulakan dengan bait-bait penghormatan yang diberikan kepada orang-orang besar
dengan penuh terperinci mengikut hierarki mereka. Apa yang pasti bait-bait
aluan kepada para pembesar hampir memenuhi 1/8 dari ucapan yang diberikan.
Selesai ucapan makaperarakan pun dimulakan. Para pembesar
negeri mengetuai perarakan sambil alunan selawat bergema setiap ruang. Sambil
melangkah mereka bersalaman dengan peserta perarakan yang berada berhampiran.
Perjalanan sejauh 3.5 kilometer dipenuhi dengan alunan selawat sehinggalah
sampai ke Dataran Pusat Islam.
Semua peserta menyertai perarakan sehingga selesai mengikut
tertib dan aturannya dan kemudiannya melalui pentas khas yang disediakan untuk
para pembesar. Kelihatan para pembesar negeri bersama para tetamu sedang
menjamu makanan di meja hidangan yang telah tersedia sambil peserta perarakan melintasi
pentas khas mereka. Peserta kemudiannya disediakan makanan dan minuman oleh
penganjur.
Inilah scenario perarakan Maulidur Rasul yang diadakan saban
tahun. Hati kecil ini tertanya-tanya adakah sambutan ini diadakan bagi
melahirkan kecintaan kepada Rasullullah ataupun sekadar satu majlis khas yang
diadakan bagi meraikan para pembesar? Sambutan dan penghormatan yang disediakan
untuk para pembesar menjadikan seolah merekalah sasaran sebenar majlis ini.
Betapa segala persiapan yang diaturkan yang telah dirancangkan lebih awal
sebenarnya hanya memberi keutamaan kepada para pembesar.
Mungkinkah kita boleh melakukan perubahan pada majlis
sambutan yang akan datang supaya sambutan ini benar-benar memfokuskan kepada
junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Tidak salah untuk meraikan para pembesar
negeri kerana mereka sememangnya berhak mendapatkan layanan sebegitu namun
segalanya biarlah berpada-pada. Biarlah majlis-majlis keagamaan yang dilakukan
dengan suasana yang lebih ikhlas dan bukannya sekadar memenuhi tanggungjawab
bagi meraikan pembesar atau dalam kata lain hanya bertujuan mengampu para pembesar negeri.
Lihat saja majlis-majlis lainnya seperti ceramah, forum
perdana dan sebagainya. Semuanya akan berakhir dengan fokus utama diberikan
kepada para pembesar. Sambutan, tempat duduk, layanan, jamuan dan segala macam protokol
semuanya bertumpu kepada para pembesar malahan para penceramah yang sepatutnya
diberikan keutamaan terpaksa dilupakan. Teringat kisah bagaimana sultan-sultan
zaman dahulu yang sanggup turun dari singgahsana untuk duduk bersama hadirin
lainnya menitip ilmu dari seorang guru.
Senario dan suasana kini jauh berbeza. Dalam hati hanya
mampu berdoa agar segala yang dilakukan ini mendapat keberkatan Allah jua.
Law Kana Bainana Ya Rasulullah ...
ReplyDeletehttps://www.youtube.com/watch?v=JsBE-cWT8L0
Majlis mengingati nabi Muhammad saw tetapi keutamaan tinggi diberi kepada pemimpin. betul kan Panglima?
ReplyDeletePasal tu kita sampai selepas pembesar dah sampai.. Heheheh
ReplyDelete