Klik untuk kembali ke Halaman Utama

24 January 2014

Sultan Muhammad Al-Fateh - Siri Ketokohan Pejuang Islam

Kelebihan Constantinople

Constantinople atau kini dikenali sebagai Istanbul adalah merupakan salah sebuah bandar yang istimewa dan sangat bersejarah di dunia. Ianya telah diasakan oleh Maharaja Rom yang bergelar Emperor Constantine pada tahun 330M.

Constantinople begitu strategik dari sudut ketenteraan, perniagaan, perhubungan dan politik pemerintahan antarabngsa sehinggakan Napoleon Bonaparte (Panglima dan Pemimpin Perancis 1769-1821) mengatakan bahawa kalaulah dunia ini sebuah negara , maka Constantinople adalah Bandar yang paling layak menjadi ibu kotanya - “If the Earth were a single state, Constantinople would be its capital.”

Di dalam sejarah Islam, keistimewaan Constantinople telah pun diumumkan oleh Rasulullah s.a.w sendiri ketika baginda menggali Parit Khandaq

“Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” 
- (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Reaksi Para Sahabat

Para sahabat dan pemimpin umat Islam selepasnya begitu berlumba-lumba di dalam usaha untuk membebaskan Constantinople bagi mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt sebagaimana di dalam Hadis tersebut. Daripada catatan sejarah mendapati bahawa tidak kurang daripada 8 kempen yang besar daripada keseluruhan 29 kempen yang telah dilancarkan tetapi kesemua kempen-kempen tersebut menemui kegagalan. Di antaranya ialah sebanyak 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 lagi kempen yang besar di zaman Kerajaan Uthmaniyyah.
(
Masjid Abu Ayyub al-Ansary di Turki

Usaha yang pertama telah dilancarkan di zaman Kerajaan Umayyah pada tahun 44H, apabila seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary r.a telah syahid dan beliau telah dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka Abu Ayyub al Ansari menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda milik sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah hebatnya keyakinan seorang sahabat besar Nabi s.a.w.

Di zaman pemerintahan Kerajaan Abbasiyyah pula, beberapa kempen pembebesan telah diusahakan termasuk di zaman Khalifah Harun ar Rashid pada tahun 190H tetapi turut menemui kegagalan.

Hadith Nabi s.a.w ini kemudiannya hanya menjadi kenyataan setelah hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fateh, Khalifah yang ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah bersama seramai kira-kira 265,000 orang tenteranya.

Muhammad Al-Fateh?

Nama sebenar Baginda ialah Muhammad bin Murad Bin Muhammad Bin Bayazid. Baginda telah dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi (833H) di Adrianapolis (sebuah bandar bersempadankan Turki – Bulgaria).
Baginda dikenali dengan gelaran ‘Muhammad Al Fateh’ kerana kejayaannya membebaskan kota Constantinople.

Baginda telah menaiki takhta seawal berusia 19 tahun lagi apabila menggantikan ayahandanya Sultan Murad II. Baginda telah memerintah empayar yang begitu luas selama kira-kira 30 tahun di antara tahun 1451–1481M. Baginda merupakan seorang negarawan yang ulung dan seorang panglima tentera agung yang telah memimpin sebanyak 25 kempen peperangan. Baginda telah meninggal dunia pada 3 Mei 1481 (855H) ketika berumur 49 tahun.

Pendidikan

Kehebatan Sultan Muhammad al-Fateh banyak dibuktikan pada ketinggian keperibadian dan kesungguhan Baginda di dalam menjalani hidupnya. Semenjak kecil ayahandanya, Sultan Murad II telah membawa para ulama yang berwibawa untuk mendidik Muhammad all-Fateh secara intensif dan bersepadu. Sheikh Muhammad Bin Ismail al Kurany telah diamanahkan untuk mengetuai barisan pendidik kepada Muhammad al-Fateh. Beliau telah diberikan autoriti untuk memukul Muhammad sekiranya diperlukan. Bahkan beliau pernah diberikan hadiah penghargaan oleh Sultan Murad II kerana beliau telah memukul Muhamamad al-Fateh dalam rangka untuk mendidiknya secara serius. Ini dibuktikan sehingga Muhammad al-Fateh dapat menghafal al Quran dalam tempoh yang pendek. Guru sebenar yang membimbing Baginda secara bersepadu ialah Sheikh Shamsuddin al Wali yang merupakan seorang ulama yang hebat daripada keturunan Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a.

Muhammad al-Fateh telah diyakinkan semenjak kecil oleh Sheikh Shamsuddin bahawa Baginda adalah orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadith pembukaan Costantinople berkenaan. Beliau mengajar Muhammad al-Fateh ilmu-ilmu asas iaitu Al-Qur’an, Hadith, Feqah serta ilmu kemahiran yang lain seperti Matematik, Falak, Sejarah, tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda.

Di dalam bidang bahasa pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew.

Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II telah melantik baginda yang baru berusia 12 tahun sebagai pemangku Khalifah dengan tujuan mendidiknya, semasa Sultan Murad II pergi bersuluk ke Pulau Magnesia. Dalam usia semuda ini Baginda telah mulai matang untuk menangani tipu helah musuh.

Apabila Baginda menaiki takhta, Sultan Muhammad segera menemui Syeikh Shamsuddin bagi menyiapkan bala tentera ke arah penawanan Costantinople demi merealisasikan hadith Rasulullah s.a.w berkenaan.

Baginda seorang yang sentiasa berani, tegas, kuat menyimpan rahsia pemerintahan di samping bersikap tenang dan pendiam. Baginda sangat mencintai para ulama dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.
Kubu Rumeli Hisari yang dibina oleh al-Fateh bersama tenteranya

Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri. Semasa membina Kubu Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, Baginda mengangkat batu dan pasir hingga para ulama dan menteri-menteri pun terpaksa ikut sama bekerja.

Muhammad Al-Fateh sangat menyayangi Sheikh Shamsuddin dan Sheikh mempunyai kedudukan yang istimewa pada diri Sultan Muhammad Al-Fatih. Ini jelas dibuktikan ketika di dalam ucapan Baginda semasa pembukaan Constantinople, “Sesungguhnya kamu semua melihat aku gembira sekali. Kegembiraanku ini bukanlah semata-mata kerana kejayaan kita menawan kota ini, akan tetapi ia adalah kerana hadirnya Sheikhku yang mulia yang merupakan pendidikku, Asy-Sheikh Shamsuddin al Wali”

Strategi Ketenteraan

Semenjak kecil, Muhammad al-Fateh telah meninjau dan mengkaji usaha yang dibuat oleh ayahnya untuk menawan kota Constantinople. Juga sepanjang 2 tahun pertama selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople secara terperinci setiap malam bagi mengenal pasti sebarang faktor-faktor kelemahan Constantinople di samping mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen panglima Islam yang terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi-strategi terkini yang sesuai untuk digunakan.

Baginda telah membuat satu persiapan yang besar ke arah cita-citanya yang menggunung bagi menawan Constantinope. Baginda telah menyediakan angkatan tentera yang besar dan canggih dengan para mujahidin seramai kira-kira 265,000 orang dan kapal laut sebanyak 400 buah untuk tujuan ini. Baginda juga telah mengarahkan pembinaaan peralatan perang termoden seperti meriam gergasi yang boleh menembak bom seberat 300 kg dengan jarak sejauh 1.5 kilometer.

Kota Rumeli Hisari telah dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 8 km dari Kota Constantinople. Ia dibina bertentangan dengan Kota Anadolu Hisari di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim yang terdahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Baginda juga telah mengikat perjanjian damai dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila mereka diserang nanti.

Baginda membawa bersama batalionnya para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja mereka menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan agar azan dilaungkan dan solat berjemaah disempurnakan. Tentera Byzantine begitu gementar melihat kira-kira 265,000 orang tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir yang memecah kesunyian alam.
Serangan ke atas Constantinople

Dari suduk geografinya, Kota Costantinople mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana ianya dikelilingi oleh lautan dari tiga penjuru iaitu Laut Marmara, Selat Bhosphore dan Teluk Golden Horn. Kemasukan ke perairan Teluk Goldern Horn telah dihalang dengan adanya rantai besi raksasa. yang berfungsi menghalang kapal daripada masuk ke pintu utama Kota Costantinople.

Setelah segala persiapan diatur, akhirnya Sultan Muhammad al-Fateh telah menghantar utusan supaya Maharaja Byzantine menyerahkan kota Constantinople kepadanya tetapi beliau enggan berbuat demikian. Kota Costantinople telah dikepung dan mula diserang pada hari Rabu 19 April 1453M bersamaan 12 Rabiul Akhir 857H bersama angkatan tenteranya yang menjangkau seramai 265,000 orang, Kota tersebut telah dihujani oleh peluru daripada meriam rasaksa selama 48 hari namun hanya merosakkan sebahagian dinding luar kota tersebut.

Menara Bergerak

Baginda kemudiannya memerintahkan tenteranya menggunakan menara bergerak yang mempunyai ketinggian lebih tinggi daripada Kota Constantinple serta boleh memuatkan ratusan Islam. Namun tentera Byzantine berjaya memusnahkan menara bergerak tersebut setelah ianya berjaya menembusi dinding tengah kubu mereka.

Bantuan Ketenteraan dari Vatican

Tentera laut Byzantine turut diperkukuhkan oleh bantuan yang dihantar oleh Vatican dan eropah dengan sebanyak 5 buah armada. Apatah lagi tentera Islam gagal untuk merentasi perairan Teluk Goldern Horn disebabkan rantai besi gergasi yang menghalang kemasukan kapal laut mereka. Ini menaikkan semula semangat tentera Vatican. Para paderi pula mengingatkan penduduk Constantinope supaya banyak berdoa agar Constantinople selamat.

Maharaja Byzantine cuba memperdaya Muhammad al-Fateh dengan pelbagai tawaran, hadiah dan rasuah bagi menyelamatnya kedudukannya tetapi ditolak dengan tegas oleh Baginda supaya Constantinople diserahkan secara aman kepada mereka.

Penawanan Constantinople

- kapal melalui gunung

Ketenangan dan kegembiraan Maharaja dan penduduk Constantinople tidak berpanjangan apabila mereka mendapati kehadiran sebanyak 72 kapal perang Muhammad al-Fateh telah sampai ke perairan Teluk Golden Horn pada 22hb April 1453M. Sultan Muhammad menggunakan satu kaedah yang luar biasa apabila Baginda dan tenteranya telah membawa kapal-kapal ini melalui jalan darat di atas gunung sebelum meluncurkannya semula ke Teluk Goldern Horn. Ini adalah satu keajaiban dan dianggap sebagai tektik peperangan yang terbaik di dunia oleh sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal Byzantine kemudiannya habis terbakar kerana dibedil oleh meriam tentera Islam dan sistem pertahanan Byzantine menjadi semakin lemah.

- Suntikan semangat jihad

Baginda yang turut dibantu oleh para ulama telah mengambi kesempatan pada sebelah malamnya untuk memberikan semangat jihad kepada tenteranya di samping mengingatkan kepada mereka tentang hadith Rasulullah s.a.w dan mereka kemudiannya sama-sama bermunajat kepada Allah s.w.t.

- Memanjat kota

Keesokan paginya tentera Uthmaniyah telah cuba memanjat dinding di dalam kubu dengan menggunakan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik yang besar. Mereka kemudiannya telah memacak bendera Daulah Uthmaniyyah di puncak kota. Tentangan sengit dari pihak Byzantine telah mengakibatkan ramai tentera Islam menjadi syudaha’. Muhammad al-Fateh kemudiannya memerintahkan agar tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.

- Karisma sebagai Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda akan berakhirnya dengan kejayaan telah menimbulkan rasa jemu dan menghilangkan keyakinan di kalangan sebahagian tentera Islam. Melihatkan keadaan yang genting tersebut maka Baginda berpidato bagi menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid marilah ikut aku!”.

Mendengarkan pidato tersebut maka salah seorang tentera Baginda yang bernama Hasan Ulubate telah bangkit dan mengetuai sekumpulan kecil 30 orang tentera yang telah membuka dan kemudiannya melompat masuk ke dalam kubu musuh. Mereka lantas memacak bendera Islam di situ. Ini telah menaikan lagi semangat tentera Islam dan mengetarkan pihak musuh. Mereka kesemuanya kemudiannya gugur syahid setelah dihujani oleh anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantine sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar. Laungan takbir yang telah mengisi ruang angkasa Constantinople telah memberikan kesan serangan psikologi kepada pihak musuh.

- Terowong

Ketika kekalutan di Kota Constantinople belum pun reda, pihak musuh telah mendapat bahawa tentera Islam telah mengorek terowong untuk memasuki kota tersebut. Ketakutan menimpa mereka dengan rasa gerun dan takut yang teramat sangat.

Penawanan Constantinople 

Pada 29 Mei 1453, Baginda bersama tenteranya yang hebat berjaya menawan Constantinople ke tangan Islam. Baginda telah membuktikan kebenaran hadith Rasulullah s.a.w. Constantinople telah ditukar namanya kepada Islambul (Islam keseluruhan) yang telah dijadikan sebagai ibu negara Khilafah Uthmaniyyah.
Gereja Besar St Sophies kemudiannya telah ditukar menjadi Masjid Aya Sophia. Dengan tawadhunya Baginda melumurkan tanah ke dahinya dengan melakukan syujud syukur sebaik sahaja kejayaan tersebut diraih bersama tenteranya. Nama Islambul kemudiannya telah ditukar kepada Istanbul.

Sebaik-baik Raja

Ketika solat Jumaat hendak didirikan buat pertama kalinya, timbul pertanyaan di kalangan baginda tentang siapakah yang paling layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita yang pernah meninggalkan solat fardhunya sejak baligh hingga sekarang walaupun sekali, sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, “Siapakah di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Maka sebahagian daripada tenteranya pun duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri.

Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat Rawatib dan solat Tahajjud sejak baligh .
Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin al Wali. Bagindalah orangnya yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera di dalam hadithnya itu.

Faktor kemenangan

Sesungguhnya kemenangan tersebut berjaya dilakukan bukanlah kerana kelemahan Byzantine atau Constantinople tetapi adalah kerana pergantungan tentera Islam terhadap Allah, berpegang kepada taliNya yang teguh dan kemajuan serta kemodenan ketenteraan Daulah Uthmaniyyah ketika itu.

Seorang ahli sejarah Perancis, Baron Karaffoo telah menyifatkan itu dengan menyatakan, ”Pembukaan Constantinople tidaklah berlaku kepada Sultan al-Fateh secara kebetulan dan juga bukan kerana Kerajaan Byzantine berada di dalam keadaan lemah, tetapi ia adalah kerana Sultan al-Fateh menggunakan segala kekuatan ilmu yang ada di zamannya.”

Sumbangan utama Muhammad a Fateh?

Para ahli sejarah telah menjadikan tarikh pembukaan Constantinople pada 29hb Mei 1453M sebagai tarikh kepada sejarah moden. Ketika memasuki Bandar tersebut, Sultan Mummad al-Fateh telah mengistiharkan bahawa dunia kuno telah terhapus dan dunia moden telah datang.

-  Kebebasan beragama

Ramai orang Yahudi dan Arab yang ditindas di Sepanyol telah berpindah ke Constantinople. Sultan al-Fateh juga telah membenarkan agama Kristian untuk diamalkan dengan mengekalkan gereja dan pengamalan mazhab Orthodoks mereka. Baginda telah meminta pihak gereja berhimpun dan memilih seorang ketua paderi di kalangan mereka. Mereka telah memilih Anadius sebagai ketua yang kemudiannya berkata bahawa dia lebih suka melihat serban Sultan daripada melihat topi latin (Katholik) kerana pihak Katholik Barat telah menindas pihak Orthodoks. Sultan juga mengarahkan supaya gereja dan sinagog tidak dimusnahkan atau diapa-apakan.

- Pengembangan Kerajaan dan Pembangunan

Sultan al-Fateh dikurniakan kejayaan yang besar dalam menyempurnakan penyusunan negara, kekemasan jentera pentadbiran dan membuat ikatan teguh di antara kawasan yang tunduk di bawah pebguasaannya serta menundukkan Serbia, Bosnia, kawasan pantai Laut Merah dan semenanjung Crimea. Baginda telah meluaskan sempadan Negara dari hanya sekiar 600 km persegi kepada keluasa 2,214,000 km persegi. matlamat Baginda dari perluasan negaranya adalah untuk menembusi Eropah dan menyelamatkan umat Islam di Andalus daripada cengkaman Kristian.

- Perkembangan Tamadun

Bentuk peradaban telah berubah dengan pembukaan Islam tersebut kerana banyak masjid, sekolah dan hospital yang telah dibina. Baginda amat mengambil berat terhadap pelajaran dan pendidikan. Baginda juga telah menyusun pentadbiran, ketenteraan, politik dan pembangunan.

Sutan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 1471M (886H) ketika sedang berada di kemuncak kemenangan dan kemuliaan. Ada pendapat mengatakan bahawa kematian Baginda adalah kerana diracun melalui perantaraan doktornya yang menyembunyikan identitinya sebagai seorang Yahudi.


Rujukan dan Penghargaan

• Dr Eaman Mohammad Abbas 
  Sultan Abd al Hamid II dan Kejatuhan Khilafah Islamiah. Pustaka Salam Kuala Lumpur 2007

• Sheikh Muhhammad Sa’id Mursi 
  Tokoh=tokoh Besar Islam Sepanjang Sejarah. Pustaka al Kauthar Jakarta 2007

• Dr Ali Muhammad as Salabi 
  Biography of Muhammad al-Fateh. Maktaba as Sahaba

• Mohd Fauzi Asmuni 
  Sultan Muhammad al-Fateh dan Pembukaan Constantinople
  satuperkongsian.wordpress.com

• Hasrizal Abdul Jamil 
  Sultan Mummad al-Fatih dan Pembukaan Istanbul – 2007
  komuniti.iluvislam.com


Begitulah hebatnya bagaimana seorang pemimpin Islam yang begitu berjaya dalam hidupnya. Walaupun dilahirkan untuk menjadi seorang pemimpin, tanggungjawab beliau dalam memperjuangkan agama Islam menjadi keutamaan dalam hidupnya. Keimanan dan ketakwaan di dalam dirinya mengatasi rakyat dan juga tenteranya!

Sangat jauh kalau nak dibandingkan peribadi beliau dengan peribadi para pemimpin yang memimpin negara kita sekarang. Apatah kalau nak dibandingkan terus dengan Rasulullah SAW...
Seperkara yang menarik, jika dilihat era Sultan Muhammad Al-Fateh ketika menakluk Constantinople pada 1453 adalah sezaman dengan era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Sekiranya teknologi perang beliau pada ketika itu dianggap hebat oleh masyarakat Barat terutamanya dengan kewujudan meriam berskala besar yang dihasilkannya, adalah agak mustahil Kesultanan Melayu Melaka yang juga sebuah kerajaan Islam gagal memperolehi teknologi tersebut. Malahan Hang Tuah juga pernah diutuskan ke Rom untuk membeli bedil dan ubat bedil sebanyak 2000 pucuk ketika itu.
Rekod dan sejarah kita dimanipulasi sehingga menyatakan faktor kejatuhan empayar Melayu Melaka adalah disebabkan tentera Melayu berjuang dengan keris dan tombak. Satu penghinaan yang sangat besar kesannya yang berjaya membunuh jatidiri Melayu sehingga kini walaupun sebenarnya ramai yang tidak menyedari bahawa Terakol ataupun meriam kecil yang disisipkan oleh orang Melayu suatu ketika dahulu menjadi pemangkin dalam penciptaan pistol yang kita kenali kini.

Begitulah sejarah dipesongkan oleh mereka yang berkuasa. Kota Melaka yang setanding dengan pelabuhan barat ketika itu dikatakan hanya berbentengkan kayu sahaja sedangkan jambatan utama yang merentangi Sungai Melaka dikatakan amat strategis dalam pertahanan kota Melaka dimusnahkan sehingga memakan tempoh 7 hari. Adakah kemungkinan sebenarnya Portugis memerlukan masa yang lebih panjang untuk menawan Melaka? dan sejarah dimanipulasi bagi kepentingan mereka kononya sebuah kerajaan agung di Nusantara yang dikelilingi oleh kerajaan-kerajaan kecil di di sekelilingnya ditawan dalam tempoh kurang sebulan? Mungkinkah episod penawanan Melaka oleh Portugis sebenarnya memakan masa yang agak panjang disebabkan gangguan dan halangan dari pejuang-pejuang di seluruh Kepulauan Melayu ketika itu yang datang mempertahankan Melaka?

Buka mata dan celikkan minda. Lihatlah dengan pandangan hati yang tajam. Lihat saja pembohongan British yang menyatakan orang Melayu tinggal di atas pokok. Mereka mempermainkan kita sebenarnya. Mereka mahu generasi yang ada kemudiannya menjadi generasi yang dungu dan bodoh. Mereka menghapuskan ketamadunan kita supaya wujud satu masyarakat kemudian yang tidak tahu sejarah bangsanya sendiri! Akibatnya? Kita menjadi satu kelompok bangsa yang terkebelakang dan menyendiri dan sehingga kini kita terus diselubungi pelbagai masalah dalaman dalam jiwa bangsa kita yang merugikan.

Kita leka berjuang memperbaiki dalaman kita manakala mereka terus melangkah gemilang mencipta kejayaan. Bangkitlah anak bangsaku... Bangkitlah dengan semangat Islam untuk melakar semula sejarah gemilang kita!   

No comments:

Post a Comment