Klik untuk kembali ke Halaman Utama

16 October 2011

Sampai bila kita ditipu dan terus TERTIPU?


Masih ramai yang kabur mengenai asal usul kerajaan Melayu. Bagaimanakah ianya bermula? Umum mengakui sekiranya kita berbicara mengenai Kesultanan Melayu, secara tiba-tiba kita akan dipandu kepada Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Apakah kita harus menerima kenyataan ini atau mungkinkah kita sebenarnya dipaksa menerimanya secara diam-diam?

Baru-baru ini heboh para cendiakawan menyatakan bahawa Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka sebenarnya diasaskan pada tahun 1262 dan bukannya seperti yang diberitakan dari generasi ke generasi iaitu pada tahun 1398,1400 ataupun 1403. Sekiranya benar maka kita seharusnya berdukacita kerana generasi kita sebenarnya telah lama tertipu dan akan terus tertipu. Bagaimana asal usul kita sendiri pun dengan mudahnya kita terkeliru. Kenapa baru sekarang kita menyedarinya? Mungkin sebenarnya ada banyak lagi rahsia tersembunyi yang kita tidak ketahui.
Mengimbau sejarah Perang Salib serta kejayaan Barat menidakkan keunggulan dan keagungan tamadun Islam, malah tanpa malu mengakui mereka yang mencipta dan memiliki teknologi maka tidak mustahillah kita juga menjadi mangsa penipuan mereka. Selama hampir 500 tahun kita dijajah dan sejarah kita sebenarnya telah digelapkan. Kita direkodkan sebagai bangsa yang pemalas dan hanya tinggal di atas pokok oleh kerajaan British. Begitulah bersungguhnya mereka menggelapkan tamadun kita sehingga kita hari ini hilang jati diri dan semangat.

Cuba kita fikir kenapakah British menjalankan usaha menghancurkan peninggalan kerajaan silam kita? Semuanya mereka musnahkan dan yang tinggal hanyalah peninggalan warisan mereka. Kota Melaka dimusnahkan sebaik sahaja mereka berjaya mendapatkan Melaka dari Belanda. Munshi Abdullah mencatatkan dengan jelas perihal kemusnahan kota Melaka dalam catatannya. Pernahkah kita terfikir mengapa British menambak laut di hadapan Kota Melaka pada tahun 1930 yang kini dibangunkan sebagai pusat beli belah Dataran Pahlawan Mega Mall? Banyak usaha dan tenaga diperlukan untuk menambak kawasan seluas itu pada masa tersebut namun tetap dilakukan juga. Ini menunjukkan betapa kerajaan British yang didalangi oleh Free Mason begitu bersungguh menggelapkan sejarah kita. 
lakaran Kota Melaka ketika di serang Portugis dari sumber Portugis

Stamford Raffles dikatakan yang membuka Singapura manakala Francis Light dikatakan membuka Pulau Pinang. Di manakah peranan Sultan Johor dan Sultan Kedah yang tentunya individu yang berkuasa ke atas wilayah tersebut. baru-baru ini isu serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong oleh Mat Indera dipolitikkan sehingga sejarawan terkedu. Takut dan keliru sekiranya dikatakan menentang kerajaan!

Sebaik sahaja Melaka ditawan Portugis dan menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan Portugis ramai orang Melayu menentang mereka dengan cara yang paling sesuai ketika itu. Mereka turun ke laut dan menganggu perdagangan dengan menyerang serta merampas kapal-kapal yang lalu di Selat Melaka. Mereka pastinya digelar lanun ketika itu malah seandainya kerajaan kita sekarang adalah dari bayangan Portugis maka akan terlihat dalam buku teks bahawa mereka adalah lanun. Hakikatnya mereka adalah pejuang dan merekalah yang mempertahankan bangsa kita.

Kita sedih melihat senarai tanah Perkuburan Komanwel yang mempunyai 23,000 tapak di 140 negara Komanwel di seluruh dunia yang diuruskan oleh 'Commanwealth War Graves Commission'  termasuk di Taiping War Cemetary, Cheras Road Civil Cemetary, Labuan War Cemetary, Terendak Military Cemetery Melaka, Kranji Military Cemetery Singapura serta lain-lain tanah perkuburan Kristian antaranya di Batu Gajah, Seremban dan George Town. Namun tidak ramai yang tahu kewujudan ataupun mengunjungi Tanah Perkuburan Askar Melayu di Port Dickson, Negeri Sembilan. Kita juga tidak pernah mendengar adanya sebuah pertubuhan yang menjaga kebajikan anak-anak dan isteri pejuang Melayu yang gugur semasa darurat ataupun perang dunia yang lalu.

Seperti biasanya kebajikan mereka hanya terbela ketika ianya menjadi isu politik. Beginikah cara kita mentadbir? Apakah politik perlu diberi keutamaan khusus sehingga mengorbankan maruah agama, bangsa dan negara. Kita masih menantikan kelahiran Malaysia yang bebas dari pengaruh luar sepenuhnya, yang bercirikan nilai-nilai dan budaya sendiri. Kita ternanti kelahiran cendiakawan yang berani memperbetulkan fakta salah mengenai negara kita yang telah dipesongkan penjajah, yang berani mendedahkan keagungan dan kehebatan tamadun kita untuk dibanggakan generasi hari ini.     


Untuk apa? kerana kita perlukan sebuah bangsa yang yakin dan tidak terus merendah diri dengan kemampuannya. Ketahuilah, bahawa kita sebenarnya memiliki bangsa dan tamadun yang agung!

.        

2 comments:

  1. syabas..! Kita perlu berani menidakkan apa yang salah. Teruskan usaha ini agar bangsa kita tidak terus hanyut dan tenggelam

    ReplyDelete
  2. Salam,
    Saya ingin berkongsi pandangan. Selain daripada Kerajaan Melayu Melaka, orang Melayu telah membina tamadun dan kerajaan sendiri sejak lama dahulu seperti Kerajaan Kedah Tua, Kerajaan Gangga Negara, Kerajaan Langgui, Kerajaan Pan Pan dan sebagainya.
    Kerajaan Melayu Melaka mempunyai kaitan dengan Kerajaan Srivijaya. Kerajaan Srivijaya meliputi Semenanjung Tanah Melayu (dahulu Semenanjung bererti termasuk Selatan Thai) dan Pulau Sumatera. Pemerintahan Srivijaya berubah lokasi antaranya Sungai Musi (Palembang), Sungai Batanghari (Jambi), Muara Takus (Riau), Boro (Pulau Jawa), Chaiya (Surat Thani) dan Kadaram (Kedah).
    Semasa Srivijaya berpusat di Kadaram, Kerajaan Srivijaya diserang oleh Kerajaan Chola dari India pada tahun 1025. Kerajaan Srivijaya merosot. Waris Kerajaan Srivijaya (Sri Nila Pahlawan) menubuhkan kerajaan di Bintan. Anak Nila Pahlawan bernama Sang Nila Utama mendirikan Kerajaan Singapura. Singapura ketika di bawah pemerintahan Paduka Sri Maharaja Parameswara (cicit Sang Nila utama) telah diserang oleh Kerajaan Majapahit. Parameswara berpindah ke Semenanjung Tanah Melayu dan mendirikan Kerajaan Melayu Melaka.

    Kerajaan Melayu Melaka meluaskan kuasa di semenanjung Tanah Melayu meliputi Kedah, Beruas, Manjung, Kelantan, Terengganu, Pahang, Kelang, Jugra, Johor, Singapura, Riau, Kampar, Siak.

    Melaka kalah kepada Portugis pada 1511. Waris Sultan Melaka menubuhkan Kesultanan Johor pada tahun 1528 dan Kesultanan Perak pada tahun 1528.

    Kesimpulan yang saya buat sekarang, Kerajaan Melayu Melaka menjadi rujukan penting di Malaysia kerana ia bahagian penting dalam sejarah negara.
    Kerajaan Melayu Melaka penting kerana ia adalah waris Kerajaan Melayu Srivijaya.
    Kerajaan Melayu Melaka penting kerana membuktikan ketamadunan Melayu yang berterusan.

    Kerajaan Melayu Melaka penting kerana masih banyak aspek untuk dikaji di Melaka dalam soal pemerintahan, soal perdagangan antarabangsa, soal hubungan diplomatik, soal agama Islam, kewangan, ekonomi, budaya, nyanyian, tarian, makanan, senjata, teknologi, senibina, sastera, rakyat, masyarakat, geografi, dan sebagainya.
    Kerajaan Melayu Melaka adalah penting kerana semangat pahlawan menentang Portugis.
    Kerajaan Melayu Melaka penting berdasarkan bangsa Belanda sanggup memerangi Portugis untuk menguasai pusat pemerintahannya (Kota Melaka).
    Kerajaan Melayu Melaka penting berdasarkan sikap Inggeris bertindak pelik merobohkan kota Melaka dan mengeluarkan arahan supaya penduduk Melaka berpindah ke Pulau Pinang.
    Kerajaan Melayu Melaka adalah penting kerana masih banyak sejarah tersembunyi yang patut dikaji dan digali supaya bangsa Melayu kenal jati diri bangsa Melayu sebagai orang yang berilmu, bertamadun, berbudaya dan beragama yang diwarisi daripada Kerajaan-Kerajaan sebelumnya. Bangsa Melayu bukan bangsa pemalas dan duduk dalam gua-gua sahaja seperti yang digembar-gembur dalam buku sejarah.

    ReplyDelete