Klik untuk kembali ke Halaman Utama

21 June 2011

Isu Interlok : Kesudahan yang menyakitkan


KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelajaran bersetuju untuk mencetak semula novel Interlok yang menjadi teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk pelajar Tingkatan Lima, bagi meminda beberapa perkataan dalam novel itu.

Timbalan Menteri berkenaan Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, keputusan itu ekoran aduan daripada guru-guru yang terpaksa melakukan sendiri pindaan tersebut dengan membuat tampalan pada perkataan-perkataan dalam novel berkenaan.

"Sebelum ini kita gunakan kaedah tampal perkataan-perkataan tersebut kerana kos dan perubahan tidak banyak sebab hanya sembilan muka surat sahaja yang terlibat.

"Tapi oleh kerana sudah jadi isu, kementerian buat keputusan hari ini, untuk mencetak semula. Jadi buku itu akan gugurkan terus perkataan paria, tiada tampal-tampal," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen di sini Selasa.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang menyatakan tentang rungutan guru-guru yang terpaksa melakukan sendiri pindaan perkataan dalam novel tersebut dengan menampal perkataan "paria" dengan perkataan lain yang sama maksud.

Puad berkata penarikan dan pencetakan semula novel itu melibatkan 390,000 buah yang telah diedarkan di sekolah-sekolah menengah di zon tengah iaitu, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan dan membabitkan kos kira-kira RM1 juta termasuk kos penghantaran.

"Kita tidak mahu membebankan guru-guru dengan kerja menampal ini dan kita juga mahu buku itu nanti datang dalam keadaan bersih, tidak ada kesan tampal-tampal," katanya.

Novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain, menjadi kontroversi setelah diperkenalkan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk pelajar Tingkatan Lima kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangi masyarakat India.

Kerajaan kemudian bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif itu.

* dipetik dari BERNAMA
Sedih dan pilu mendengar betapa Kerajaan akhirnya tunduk kepada desakan dan ugutan segelintir Mastarakat India mengenai isu ini. Bukan semua minoriti India menentang penggunaan perkataan PARIA dalam novel ini yang telah menjadi sukatan pelajaran semenjak bertahun dulu. Hanya melalui penentangan berskala kecil akhirnya menjadikan kerajaan akur dan menjadi lemah. Alahai....
Kerana isu yang boleh dikategorikan sebagai kecil ini kerajaan terpaksa membazir wang rakyat sampai sejuta ringgit? Tidakkah kerajaan sedar isu ini sengaja dibangkitkan segelintir aktivis(?) India yang sengaja menyemarakkan isu perkauman. Elok pemain-pemain isu ini ditangkap dan disumbatkan dalam penjara... 

No comments:

Post a Comment