Klik untuk kembali ke Halaman Utama

28 October 2010

tolong! aku takutlah . . .





 
Keadaan sangat sunyi... sesekali terdengar bunyi kenderaan lalu lalang di jalan berhampiran. Dalam keadaan samar-samar melihat sekeliling. Terlihat beberapa patung yang sedang menggayakan beberapi aksi semacam bergerak-gerak? Realiti atau fantasi?


Itulah antara pengalaman yang terpaksa ditempuhi apabila anda menyertai program Sleepover @ The Museum anjuran Perbadanan Muzium Melaka. Menarik...? ya, program ini sangat menarik!


Muzium Melaka satu-satunya muzium yang memberi peluang kepada orang ramai untuk bermalam bersama-sama artifak sejarah berusia ratusan tahun. Selain berpeluang untuk tidur di dalam muzium, program ini juga mampu memberi kesedaran kepada orang ramai betapa warisan sejarah yang kita miliki ini sebenarnya amat-amat bernilai. Menariknya kesedaran terhadap warisan sejarah ini akan timbul setelah anda bermalam sendiri bersama artifak di dalam muzium.


Hantu...? pertanyaan paling popular yang sering ditanya. Orang kata muzium berhantu...takutlah! 

Menariknya program sleepover ini pernah disertai oleh kanak-kanak berusia 5 tahun tanpa sebarang perkara buruk. Pelbagai lapisan masyarakat telah menyertai program yang telah dilancarkan pada Februari 2009 ini. Para pelajar sekolah sehinggalah penuntut universiti, orang perseorangan mahupun syarikat swasta, malah pelajar-pelajar dari Korea serta Singapura juga telah menyertai program ini. Alhamdulillah, sehingga kini tidak berlaku sebarang kejadian buruk.


Pakej bermalam anjuran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) ini sangat menarik dan berbeza dengan yang dianjurkan oleh muzium-muzium lain di luar negara. Program ini dimulakan dengan menaiki bot menyusuri Sungai Melaka pada waktu malam. Sambil menikmati keindahan Sungai Melaka, peserta akan diberikan taklimat dan penerangan mengenai sejarah dan warisan di sepanjang laluan menuju ke Muzium Samudera. 

Peserta akan diturunkan di Jeti berhampiran Polis Pelancong untuk menyusuri panorama malam di Bandaraya Warisan Dunia. Sambil menikmati keunikan Bandaraya, peserta tidak putus-putus didedahkan dengan maklumat bersejarah yang terdapat di sepanjang laluan.


Ketika sampai di Replika Kapal Portugis Flor De La Mar, peserta juga di bawa melawat ke dalam muzium sebelum menyertai program khas yang telah diaturkan oleh PERZIM. 


 

Sementara tempat tidur peserta dipersiapkan, jamuan malam boleh dinikmati di atas dek pelantar Muzium Replika Flor De La Mar sambil menikmati panorama indah di Sungai Melaka.


Peserta kemudiannya akan tidur di tempat yang telah disediakan tanpa perlu rasa cemas kerana kakitangan PERZIM sentiasa bersedia memantau dan membantu sekiranya diperlukan. Sehingga kini tiada sebarang komen diterima mengenai program ini malah semua peserta dapat tidur dengan aman dan selesa.


Takut? Sebenarnya perasaan takut itu datang dari diri anda sendiri. Jom sertai program ini bagi menilai sejauh manakah kekuatan anda menghindari perasaan takut ini. 


Program yang dianjurkan Perbadanan Muzium Melaka dengan kerjasama TOURISM Malaysia Melaka, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Negeri Melaka dan Naza Taliyya Hotel Melaka ini adalah yang terbaik! 

Hubungi Perbadanan Muzium Melaka di talian 06-2826526 atau 06-2814226 untuk tempahan atau sebarang pertanyaan...   





27 October 2010

MAKAM WALI ALLAH DI PULAU BESAR




MAKAM SULTAN AL-ARIFEEN SYEIKH ISMAIL



Nama sebenar ialah Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail Ibn Saiyid Abdul Qadir ibn Saiyid Abdul Jabbar (r.a). Beliau adalah keturunan ke 18 Rasullullah (S.A.W). Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail r.a dilahirkan pada 17 Rabiulawal tahun 867H bersamaan 1463M di Baghdad. 

26 October 2010

YAMAHA R-1 HANYA RM15,000




Kastam Di Raja Malaysia menawarkan tender bersepadu Kenderaan Lucuthak Bil 2/2010. Beberapa buah kenderaan kini dibuka untuk lelongan awam bermula 11 Oktober 2010 yang lalu. Semua tawaran harga perlu diserahkan kepada pejabat Kastam sebelum atau pada 1 November 2010.

25 October 2010

Batu Belah : realiti atau sekadar fantasi...?


 BATU BELAH

Batu Belah di Pulau Besar, Melaka


laluan ke Batu Belah, Pulau Besar
Terletak dibahagian tengah Pulau Besar di atas puncak yang tinggi. Ianya merupakan dua batu besar yang tinggi berhampiran diantara satu sama lain. Batu besar setinggi 3 meter dan mempunyai rekahan ditengah-tengahnya selebar lebih kurang 35 cm dengan kedalaman sejauh 1.5 meter ke dalam batu.  Jarak yang renggang dibahagian atas dan mengecil dibahagian bawah kelihatan seperti dibelah. 

23 October 2010

Pulau Besar : sejarah di sebalik misteri...


Pulau Besar mempunyai keluasan kira-kira 168 hektar, merupakan pulau yang terbesar sekali di negeri Melaka.  Terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandar Melaka serta dihubungkan melalui pengangkutan air.  Terdapat kemudahan feri disediakan di antara Tanah Besar iaitu di Jeti Anjung Batu, Umbai dan juga kemudahan bot yang boleh disewa di Jeti Umbai, Melaka

Pelbagai cerita misteri dan lagenda sering dikaitkan dengan pulau ini. Terdapat juga beberapa makam Wali Allah semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi antaranya ialah Makam As-Saiyid Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail r.a, Makam Syeikh Yusuf As-Sidiq, Makam Saiyid Ibrahim r.a, Makam Siti Sarah (juga dikenali sebagai Makam Syarifah Rodziah) serta Makam Tujuh Beradik. Terdapat juga beberapa makam yang lain antaranya Makam Nenek Kebayan, Makam Tok Janggut, Makam Seribu dan Makam Nisan Satu.

Di sekitarnya terdapat kawasan-kawasan misteri yang masih belum terjawab rahsia disebaliknya seperti Pokok Disula, Perigi Kaki Pulau, Istana dan Tasik Bunian, Batu Belah, Batu Tengkorak, Gua Yunus dan pelbagai tempat yang lain. 

Pada awal pembukaannya, Pulau Besar didiami oleh orang selat / orang laut sebelum kedatangan  Parameswara sekitar tahun 1400.  Semasa pemerintahan Kesultanan Melaka, Pulau Besar telah berfungsi sebagai tempat persinggahan pedagang-pedagang untuk mendapatkan makanan, kayu api, air bersih disamping menunggu giliran untuk berlabuh di pelabuhan Melaka.

Pulau Besar juga dikenali dengan nama Pulau Air dan “Wu Shu” oleh pedagang China, menjadi tumpuan kapal-kapal pedagang ketika kewujudan Melaka sebagai pusat pemerintahan dan pelabuhan.  Kapal-kapal dagang singgah untuk mendapatkan bekalan air dan kayu api sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi  yang ditujui.

Menurut Ma Huan, seorang pembantu Laksamana Cheng Ho, pelaut-pelaut China akan melawat ‘Wu Shu’, berlabuh, berehat  disamping mendapatkan bekalan.  Masyarakat nelayan selat yang menetap di muara Sungai Melaka membawa ikan kering dan lain-lain barang dagangan untuk ditukar dengan keperluan mereka.

Pulau Besar juga menjadi pusat tumpuan di seluruh Kepulauan Melayu kerana didiami oleh ramai ulama’ yang berperanan mengembangkan Agama Islam suatu masa dahulu. Pulau Besar dicatatkan menjadi pusat melancarkan serangan oleh orang-orang Melayu yang berusaha merampas semula Melaka dari Portugis setelah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.

22 October 2010

Sejarah terlakar lagi...

Melaka... di sinilah bermula segalanya. Dari sebuah perkampungan kecil muncul menjadi sebuah pusat perdagangan unggul di Kepulauan Melayu sehingga dicemburui oleh kuasa lain. 


Setelah dijajah silih berganti oleh Portugis, Belanda, British serta Jepun kini Melaka muncul kembali sebagai sebuah destinasi pelancongan terunggul di Malaysia.

Melaka berbangga dengan 23 buah muzium serta 7 buah galeri yang menggungguli pelancongan berteraskan sejarah di Melaka. 


Syabas Melaka... syabas Perbadanan Muzium Melaka!