Klik untuk kembali ke Halaman Utama

23 October 2010

Pulau Besar : sejarah di sebalik misteri...


Pulau Besar mempunyai keluasan kira-kira 168 hektar, merupakan pulau yang terbesar sekali di negeri Melaka.  Terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandar Melaka serta dihubungkan melalui pengangkutan air.  Terdapat kemudahan feri disediakan di antara Tanah Besar iaitu di Jeti Anjung Batu, Umbai dan juga kemudahan bot yang boleh disewa di Jeti Umbai, Melaka

Pelbagai cerita misteri dan lagenda sering dikaitkan dengan pulau ini. Terdapat juga beberapa makam Wali Allah semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi antaranya ialah Makam As-Saiyid Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail r.a, Makam Syeikh Yusuf As-Sidiq, Makam Saiyid Ibrahim r.a, Makam Siti Sarah (juga dikenali sebagai Makam Syarifah Rodziah) serta Makam Tujuh Beradik. Terdapat juga beberapa makam yang lain antaranya Makam Nenek Kebayan, Makam Tok Janggut, Makam Seribu dan Makam Nisan Satu.

Di sekitarnya terdapat kawasan-kawasan misteri yang masih belum terjawab rahsia disebaliknya seperti Pokok Disula, Perigi Kaki Pulau, Istana dan Tasik Bunian, Batu Belah, Batu Tengkorak, Gua Yunus dan pelbagai tempat yang lain. 

Pada awal pembukaannya, Pulau Besar didiami oleh orang selat / orang laut sebelum kedatangan  Parameswara sekitar tahun 1400.  Semasa pemerintahan Kesultanan Melaka, Pulau Besar telah berfungsi sebagai tempat persinggahan pedagang-pedagang untuk mendapatkan makanan, kayu api, air bersih disamping menunggu giliran untuk berlabuh di pelabuhan Melaka.

Pulau Besar juga dikenali dengan nama Pulau Air dan “Wu Shu” oleh pedagang China, menjadi tumpuan kapal-kapal pedagang ketika kewujudan Melaka sebagai pusat pemerintahan dan pelabuhan.  Kapal-kapal dagang singgah untuk mendapatkan bekalan air dan kayu api sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi  yang ditujui.

Menurut Ma Huan, seorang pembantu Laksamana Cheng Ho, pelaut-pelaut China akan melawat ‘Wu Shu’, berlabuh, berehat  disamping mendapatkan bekalan.  Masyarakat nelayan selat yang menetap di muara Sungai Melaka membawa ikan kering dan lain-lain barang dagangan untuk ditukar dengan keperluan mereka.

Pulau Besar juga menjadi pusat tumpuan di seluruh Kepulauan Melayu kerana didiami oleh ramai ulama’ yang berperanan mengembangkan Agama Islam suatu masa dahulu. Pulau Besar dicatatkan menjadi pusat melancarkan serangan oleh orang-orang Melayu yang berusaha merampas semula Melaka dari Portugis setelah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.

2 comments:

  1. UUiii.. Misterinya Pulau Besau ni..

    ReplyDelete
  2. tempat p'lindungan ketika ribut melanda kpd bot2 nelayan khasyr anak jati melaka...singah ler be!

    ReplyDelete