Klik untuk kembali ke Halaman Utama

02 December 2015

Menjejaki Sejarah dan Misteri Pulau Besar (28 - 29 November 2015)

Program tetap berlangsung seperti yang telah dijanjikan walaupun hanya terdapat 6 orang peserta sahaja. Komitmen tetap kami laksanakan walaupun sasaran peserta tidak menepati sasaran minima. Siapa tahu dengan komitmen yang kami tunjukkan ini mungkin mampu menarik lebih ramai peserta dalam penganjuran akan datang. Insya Allah...


Kesempatan bergambar bersama Tuan Guru Aziz
dari Persatuan Seni Silat Tepat, Umbai
Seorang demi seorang peserta sampai ke Jeti Umbai seperti mana yang dijanjikan. Apa yang kami banggakan terdapat seorang peserta dari Singapura, membuktikan betapa program ini mampu mendapat tempat kelak. Turut bersama kami seorang pelajar universiti yang sedang membuat kajian mengenai khurafat serta seorang penulis bebas bergelar arkitek yang sangat meminati sejarah serta program bercorak lasak.


Peserta dibawa melawat ke semua tempat yang dijanjikan dalam program selama dua hari ini. Cuma keadaan cuaca tidak menyebelahi kami apabila lawatan ke Gua Yunus pada waktu malam terpaksa ditunda keesokannya disebabkan hujan. 

Alhamdulillah... tidak berlaku sebarang masalah sepanjang dua hari berkampung di Pulau Besar. Cuma sesuatu yang amat menghairankan kami apabila melihat paras air di Tasik Bunian yang kering kontang... cuma terdapat sedikit lopak yang berair yang menjadikan ikan-ikan berwarna merah di dalam tasik itu masih mampu bertahan. Dalam keadaan di negeri ini yang sering dilanda hujan sekarang, agak mustahil air tasik boleh kering apatah lagi malam sebelumnya hujan lebat mencurah di seluruh pulau!
Kami juga mendapat perkhabaran mengembirakan apabila diberitakan kira-kira 70 ekor babi hutan telah ditembak minggu lalu. Tidak sia-sia rupanya laporan yang disalurkan kepada pihak berkuasa negeri dari maklumat yang kami terima dari sahabat facebook Chek Ridzuan dan Amzarul Yuzrin Bin Mohd Yusof pada 9 November 2015 yang lalu. Namun kami agak gusar juga apabila dikhabarkan terdapat lebih 100 ekor yang masih merayau terutamanya di kawasan belakang pulau. Harapnya akan ada usaha susulan yang dilakukan mereka agar pulau ini bebas sepenuhnya dari gangguan babi.

Khurafat? Ya... masih lagi diamalkan namun jauh berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Sekitar Masjid Pulau Besar yang menempatkan kompleks Makam Sultan Arifin Syeikh Ismail bebas sepenuhnya dari amalan khurafat mungkin disebabkan kewujudan ramai petugas dan penguatkuasa dari jabatan agama. Keadaan berbeza di lokasi asal Kubur Tujuh Beradik yang masih dipenuhi beratus-ratus colok mahupun setanggi. Pemantauan dari agensi agama seharusnya dilakukan di seluruh pulau dan bukannya sekitar madrasah sahaja. Laksanakan tugasan yang diamanahkan kepada anda sebaik mungkin, kerana ganjarannya bukan sahaja di dunia kelak.

Peserta juga berkesempatan merasai keenakan kari serta sup apabila ada pihak yang menjamu kenduri kesyukuran di wakaf makan di sekitar madrasah. Benar pandangan rakan-rakan, anda tidak akan kebuluran sekiranya berkunjung ke Pulau Besar pada hujung minggu. Ada sahaja pihak yang tidak keberatan menderma yang pasti membuatkan perut anda membesar tiba-tiba!

Alhamdulillah juga kali ini kami dapat juga membekalkan elektrik bagi kemudahan peserta mengecas semula bateri kamera mahupun telefon bimbit. Walaupun generator yang kami bawa berkapasiti kecil namun kemampuannya tidak mengecewakan. 

Ramai yang bertanyakan kami, apakah berdepan dengan perkara-perkara pelik mahupun misteri? Alhamdulillah... semuanya selamat dan ternyata mereka semuanya gembira dengan program ini walaupun kami tahu ada sesuatu sebenarnya telah berlaku pada salah seorang peserta kami. Nak tahu apa ceritanya?.... hehehe biarlah individu terlibat sahaja yang membuka isi ceritanya. 
       



















































































































  

No comments:

Post a Comment