Klik untuk kembali ke Halaman Utama

07 September 2015

Tragedi SEPTEMBER 2015...?

Suasana penuh hening. Alunan kalimah tauhid dilafaz penuh tertib. Dapat dirasakan kehadiran dua lembaga serba putih berdiri tegap di sebelah kiri dan kanan sedikit terkebelakang berhampiran sudut ruang itu. Pedulikan… tiada apa yang perlu dirisaukan ketika hati meruntun tunduk menghadap Ilahi.

Tiada apa yang kelihatan di dalam bangunan kecil ini kecuali sebuah makam seorang raja yang kurang dikenali namun diyakini seorang yang zuhud kepada penciptanya. Selain itu terlihat sebuah dupa tembaga yang agak besar saiznya sesuai dengan martabat baginda sebagai seorang Sultan.

Dapat dirasakan penutup dupa tembaga itu perlahan-lahan turun entah kenapa. Tiada bunyi yang kedengaran seolah ada tali yang mengikatnya turun. Entah bagaimana pula muncul kelibat seseorang lagaknya bersemayan di atas singgahsana namun semacam terapung berada betul-betul di hadapannya. Terlihat sebuah lubang kecil di tengah-tengah makam tersebut seolah mengeluarkan kabut putih. Ya, bukan asap kerana kabut putih ini tidak bergerak ke mana-mana.

Tidak jelas kelibat empunya gerangan kerana aura yang dimilikinya menenggelamkan jasad. Jelas begitu hebat lagak dan gayanya. Tanpa membantah kepala lantas tunduk menerima entah apa kalungan. Tangan kemudiannya menyambut dua keris berlainan saiz yang begitu halus tampaknya yang disaluti dengan emas. Apakah emas sebenarnya? Agak sukar membuat penaksiran memandangkan kedua-dua keris juga mempunyai auranya yang menenggelamkan sifatnya sendiri. Bagaikan diatur sebatang tongkat pula berada dalam genggaman. Tongkat hitam dengan kepalanya yang terlihat hebat dan begitu berkuasa. Di hiasi dengan pelbagai batu pertama diletakkan dengan bentuk bertingkat semacam piramid. Cahaya yang terhasil juga bukan kepalang perinya.

Entah bagaimana pula di kepala tersarung sesuatu. Entahkan serbankah atau songkokkah? Bertingkat-tingkat dan saling tak tumpah seperti kepala tongkat jua bentuknya. Tersarung juga pakaian yang entah dari mana datangnya terhias kemas dengan jubah hitam penuh hiasan yang indah-indah. Ya… pakaian seperti yang pernah digayakan Laksamana Cheng Ho.  

Sesekali cahaya putih yang bersinar indah terlihat dari jelah jari jemari yang menggenggam erat tongkat. Dengan penuh yakin tongkat dihentakkan ke tanah. Suasananya sangat dramatik… tiada langsung gegaran namun dari puncak bukit itu dapat dilihat aura yang terhasil bergerak ke seluruh daratan lagaknya seperti impak bom nuklear seperti yang sering disaksikan di televisyen. Dapat disaksikan gelombang itu merentasi daratan dan lautan disambut dengan gegak gempita kedengaran dua kali dari Meriam Penggawa Petoi Boga dari puncak sebuah bukit di utara.

Hebatnya gelombang aura tidak terhenti setakat itu sahaja namun terus bergerak semakin perlahan namun begitu jauh ke utara Siam,  seluruh Sumatera dan utara Australia di Selatan. Di sebelah timur terlihat sehingga ke Filipina di utara dan Kepulauan Makassar di selatan namun seolah terhenti di Kepulauan Borneo.

Tiba-tiba lamunan terhenti, mendayu-dayu Azan Isyak memanggil agar disegerakan yang fardhu… Ya, aku perlu terus tunduk kepada Pencipta ku.


p/s : ada gaya penulisan novel tak? Mohon pandangan jujur anda...

1 comment: