Klik untuk kembali ke Halaman Utama

10 September 2015

Perhimpunan Melayu Bersatu... RETORIK yang memualkan?

Apakah benar Melayu telah kembali bersatu? Adakah 16 September 2015 ini menjadi titik tolak kepada perpaduan bangsa Melayu yang nyata sekian lama semakin jauh dan merapuh sambil dihiasi dengki dan khianat yang menjadi darah dagingnya? Apakah dengan mengadakan satu perhimpunan besar di sebuah kawasan yang didominasi oleh orang Cina ini akan melambangkan perpaduan Melayu? Bagaimana kalau sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal dan timbul pula rusuhan besar yang kemudiannya akan merebak ke seleruh Negara. Kalau begitu agendanya, mungkin ada hikmahnya… eloklah persediaan dibuat oleh ATM bagi mengambil alih pemerintahan Negara.

Tiba-tiba teringat pada papan catur. Di mana sahaja watak yang anda pegang di atas papan catur anda perlu sentiasa ingat bahawa anda sedang dicaturkan!

Ada baiknya kita mencari sesuatu yang pasti. Mencari penyelesaian bagaimana taraf ekonomi bangsa Melayu perlu dipertingkatkan.

Sekadar memberi contoh… adakah anda masih ingat lagi suasana di Bandar Hilir, Melaka pada tahun 80 an dulu? Masihkah anda mengenali peniaga kraftangan yang beroperasi berhampiran kolam renang suatu ketika dulu? Bagaimanakah keadaannya sahabat-sahabat kita yang membuka kedai makan di tapak Menara Taming Sari sekarang? Berapa ramai kalangan kita yang mengenali peniaga-peniaga kraftangan yang berniaga di kawasan Bastion House? Bagaimana keadaannya peniaga-peniaga Melayu yang membuka kedai makan di hadapan JPJ yang kini bertukar menjadi hotel 5 bintang yang gah di Melaka? Bagaimana pula peniaga-peniaga Melayu di bangunan MARA di hadapan gereja?

15 April 1989 Melaka diistiharkan sebagai Bandaraya Bersejarah dan menikmati pula taraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh UNESCO pada 7 Julai 2008. Kalau melihat pada fakta ini kita pastinya terfikir betapa peniaga-peniaga Melayu yang berniaga dahulu sangat beruntung dan pastinya kaya raya bergelar jutawan dan mampu pula melahirkan ramai peniaga-peniaga lainnya.

Tetapi semua ini tidak berlaku. Semua peniaga-peniaga Melayu di kawasan yang dinyatakan di atas kini berhempas pulas meneruskan perniagaan mereka di lokasi baru yang kurang strategik malah ramai juga yang gagal dikesan. Pelan pembangunan Bandar di Melaka melupai mereka. Kalau adapun kebanyakan mereka beroperasi di Dataran Pahlawan serta berniaga dalam keadaan yang sekadarnya dengan sewa premis yang mahal dan disorokkan pula di kawasan yang sukar ditemui. Kecuali di Medan Samudera dan Bangunan Stadhuys manakala di kawasan lainnya peniaga Melayu ibarat melukut di tepi gantang. Perniagaan masih diteruskan namun keadaan hidup masih sama dan tiada apa yang boleh dibanggakan.

Sahabat kita dari bangsa lain langsung tidak boleh dibuat perbandingan. Sekadar melihat deretan kedai kraftangan di kawasan Perigi Raja, Bukit China yang boleh dikategorikan sebagai tertinggal dari segi barangan dan kemudahan namun nyata unggul dari segi pendapatan. Kenapa? Ini kerana mereka mendapat sokongan agensi pelancongan yang membawa puluhan bas ke kawasan itu setiap hari. Bagaimana di Stadhuys yang juga mempunyai puluhan bas pelancong setiap hari? 


Amat menyedihkan kerana para pelancong seakan diberikan tips oleh agensi pelancongan agar tidak membeli barangan di sana.

Inilah hakikat yang berlaku di sini. Peniaga Melayu di Bandaraya Warisan Dunia boleh dikira dengan jari dan mereka sering tersepit dan ketinggalan kerana perniagaan di sini didominasi oleh bangsa lain. Kalau ingin melihat Melayu yang ramai berniaga hanyalah pengusaha beca yang sebenarnya juga terhimpit dan ditekan dengan pelbagai masalah.

Kesimpulannya… tak perlulah tunjukkan kekuatan dengan berhimpun beramai-ramai yang tidak diketahui jelas faedahnya untuk bangsa Melayu. Adalah amat wajar sekiranya pejuang-pejuang Melayu ini tampil membela bangsa Melayu dengan mendesak kerajaan membantu dan terus membantu menaikkan ekonomi Melayu. Sedarlah, dalam kerancakan pembangunan Melaka sebenarnya sedar tak sedar Melayu semakin tersisih malah akan terus disisih di bumi sendiri.

Pilih… jalan mana yang anda inginkan untuk menjadi PEJUANG BANGSA? 

2 comments: