Klik untuk kembali ke Halaman Utama

19 June 2011

PERZIM dan Angka 333,333

Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) hari ini sekali lagi mengadakan kejutan dengan meraikan pengunjung ke 333,333 orang sepanjang tahun ini. Pengurus Besar PERZIM, Haji Khamis bin Haji Abas yang ditemui dalam satu majlis ringkas hari ini memaklumkan ianya diadakan sebagai tradisi PERZIM menghargai serta berterima kasih kepada pengunjung-pengunjung yang telah menjadikan muzium-muzium di Melaka sebagai satu destinasi pilihan yang wajib ketika berkunjung ke Bandaraya ini.

Seorang pengunjung bertuah, En. Nurman bin Husni (36) dari Kota Tinggi, Muar terpilih sebagai pengunjung ke 333,333 pada tahun ini. Beliau yang ditemani isteri, Puan Siti Zaharah bte Talib (36) serta dua anak beliau Nurhanis Sofia (7) dan Mohamad Haziq Syahmi (4) merasa bertuah apabila terpilih sebagai pengunjung istimewa PERZIM. Beliau menerima sijil khas sebagai pengunjung ke 333,333 orang yang disampaikan Haji Khamis serta pas masuk percuma ke muzium-muzium milik PERZIM, cenderamata berupa plak serta barangan keluaran PERZIM, tiket percuma ke Menara Taming Sari dan River Cruise serta hamper.

‘Saya merasa bertuah malah tidak percaya saya terpilih sebagai pengunjung ke 333,333 orang. Pastinya saya akan mengingati detik ini sepanjang hayat saya’, ujar beliau sambil memuji usaha yang dilakukan PERZIM bagi menarik kunjungan orang ramai dengan memberikan penghargaan seperti ini.

Mengikut statistik PERZIM, jumlah pengunjung yang melawat muzium-muzium pada tahun ini telah meningkat berbanding sehingga Jun 2010 iaitu seramai 319,341 orang sahaja.

‘Insya Allah, saya yakin kami mampu mencapai sehingga 350,000 beberapa hari lagi,’ ujar beliau sambil mengharapkan sasaran pengunjung PERZIM pada tahun ini iaitu seramai 1,000,000 orang mampu dicapai kelak.

Pelbagai usaha berterusan telah dijalankan PERZIM bagi menjadikan muzium sebagai destinasi pelancongan terunggul dan popular yang wajib dikunjungi oleh pengunjung tidak kira dalam mahupun luar negara. Usaha promosi ini  akan terus diperhebatkan lagi disamping terus menjalin kerjasama erat dengan agensi-agensi berkaitan serta memperkenalkan semua produk-produk pelancongan yang terdapat di Melaka agar  Melaka dijadikan sebagai destinasi pelancongan yang mesti dikunjungi di Malaysia.

’Pelbagai pilihan kami sajikan kepada pengunjung, daripada bermalam di dalam muzium samada di Replika Flor De La Mar,  Muzium Istana Kesultanan Melaka atau Muzium Pulau Besar hinggalah ke pelbagai pameran khas yang sedia menanti pengunjung’, tambah beliau lagi sambil memaklumkan PERZIM akan mengadakan pameran Seni Solo Nuansa Senibina Islam oleh Sharul Amin Kamarazaman bertempat di Lobi Muzium Sejarah dan Etnografi bermula 15 Jun hingga 31 Julai 2011.

No comments:

Post a Comment