Klik untuk kembali ke Halaman Utama

12 February 2011

PAMERAN ARTIFAK WARISAN ISLAM



Orang ramai berpeluang melihat al-Quran bersadur emas yang sedang dipamerkan pada Pameran Artifak Warisan Islam di Balai Syed Sheikh Al-Hadi, Bastion House di sini sehingga 15 Jun ini. 

Penolong Kurator (Promosi) Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Nurman Mohd. Baroldin berkata, pameran anjuran Perzim dan Megabroadcast Ventures (M) Sdn. Bhd. itu dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi sehingga 6 petang kecuali Jumaat, Sabtu dan Ahad sehingga pukul 7 malam. 

Menurut beliau, mengikut sejarahnya, selama 500 tahun, al-Quran bersadur emas itu telah dibawa oleh orang Islam Arab pada zaman pemerintahan Empayar Uthmaniyah ke Timur Turkistan (Xinjiang), Yunan, China dan seterusnya ke Tanah Melayu. "Al-Quran ini dipercayai telah dibuat pada kurun ke-16 hingga ke-18 dalam skrip Nasakh. "Ia bagaimanapun telah melalui zaman kegelapan pada awal kurun ke-20 kerana pada ketika itu kerajaan China telah melarang pembelajaran dan pengajaran al-Quran," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini. 

Tambahnya, pada masa itu, tulisan Arab bersama semua rekodnya telah dibakar termasuk banyak artifak yang mempunyai pengaruh dunia Islam dimusnahkan. Bagaimanapun, menurut Nurman, al-Quran itu telah berjaya diselamatkan dan menjadi satu-satunya al-Quran yang bersadur emas dari China. "Naskhah ini merupakan al-Quran saduran emas buatan tangan dengan pengaruh seni Islam yang sangat berharga. "Ia mengandungi 28 set iaitu 19 hingga 20 keping bagi setiap set dan disimpan di dalam 14 kotak bersadur.

Sumber : utusan.com.my

1 comment: