Klik untuk kembali ke Halaman Utama

24 February 2011

Muammar Gaddafi guna kekerasan, 1000 orang terbunuh


    
Benghazi - Tindakan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mahu menamatkan tunjuk perasaan yang menuntutnya meletakkan jawatan telah menyebabkan 1,000 orang terbunuh, kata Menteri Luar Itali, Franco Frattini semalam.

"Kami percaya anggaran kematian kira-kira 1,000 orang boleh dipercayai," kata Frattini merujuk kepada tindakan Gaddafi yang mengarahkan pasukan keselamatan membedil dan menembak para penunjuk perasaan.

Sebelum ini, pertubuhan hak asasi, Human Right Watch menganggarkan 233 orang terbunuh dengan 62 penduduk di ibu kota Libya, Tripoli sejak dua hari lalu.Menurut Frattini, beliau mengetahui bahawa wilayah timur Libya, Cyrenaica yang merupakan lokasi yang menempatkan banyak simpanan minyak tidak lagi berada di bawah kawalan Gaddafi.

Di bandar Benghazi, para penunjuk perasaan meraikan kemenangan dengan bermain bunga api dan membunyikan hon ekoran pertumpahan darah sudah berakhir.

Kawasan timur Libya dikatakan sudah berada dalam penguasaan penduduk yang menentang pemerintahan Gaddafi.

Sebuah penjara turut dibakar di Benghazi dan imej televisyen Sky News menunjukkan sebuah pesawat antipeluru berpandu Libya ditinggalkan di sebuah pangkalan tentera dekat Tobruk.

Menurut akhbar Quryna, di Sabratah, 80 kilometer ke barat Tripoli, tentera Libya menempatkan sejumlah besar askar selepas para penunjuk perasaan memusnahkan hampir kesemua pejabat perkhidmatan keselamatan. - Reuters
Bandar Misurata jatuh ke tangan pemberontak
TRIPOLI: Bunyi kuat senjata api kedengaran di bandar raya ini semalam, ketika tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi melepaskan tembakan di jalan raya selepas pemimpin itu berikrar untuk mempertahankan pemerintahannya.
Pertempuran di Tripoli meletus selepas pembangkang dilapor menguasai bandar Misurata dan saksi berkata, orang ramai membunyikan hon kenderaan sambil mengibarkan bendera pra-pemerintahan Gaddafi.
Misurata menjadi bandar utama di barat Libya jatuh ke tangan kumpulan antikerajaan yang sebelum ini tertumpu di timur.
Seorang doktor tempatan, Faraj al-Misrati berkata, enam penduduk terbunuh dan 200 cedera sejak 18 Februari lalu apabila penunjuk perasaan menyerang pejabat dan bangunan yang ada hubungan dengan rejim Gaddafi.
Katanya, penduduk bersatu membentuk jawatankuasa untuk melindungi bandar berkenaan.

- dipetik dari AP








1 comment:

  1. DUNIA SEKARANG SENANG JE NAK JATUHKAN PEMIMPIN.. BUAT DEMONSTRASI RAMAI-RAMAI.. ADUHAI..

    ReplyDelete