Klik untuk kembali ke Halaman Utama

16 January 2011

Radhi OAG tidak mahu hipokrit lagi


INSAF... Radhi menandatangani perjanjian menjalani pemulihan sambil diperhatikan pegawai Pengasih, Razak Mohd.
INSAF... Radhi menandatangani perjanjian menjalani pemulihan sambil diperhatikan pegawai Pengasih, Razak Mohd.
KUALA LUMPUR: Radhi OAG atau nama sebenarnya Muhd Radhi Razali,33, yang mengaku penangan dadah yang diambil sejak 1997 memusnahkan hidup dan kariernya, memasuki pusat pemulihan kelolaan Pengasih sejak Isnin lalu.
Enggan menuding jari kepada sesiapa, Radhi mengaku semua ini adalah silapnya. Dia tidak kuat melawan najis yang meragut banyak nyawa itu hinggalah berdepan musibah bertimpa-timpa tahun lalu.

Dia tidak mahu tabiat buruknya itu mengecewakan anak tunggalnya, menyebabkan naluri meronta-ronta mahu melakukan penghijrahan terbesar dalam hidupnya. Berkat dorongan ramai dan atas rasa suka rela, Isnin lalu dia secara rasmi menjadi ahli keluarga baru Pengasih.

“Saya nekad dan memandu sendiri ke Pengasih. Syukur, Allah SWT masih beri saya peluang berpijak dalam industri. Saya sifatkan ini peluang terakhir.


“Sungguh... saya menyesal. Saya asyik ulang kesilapan sama dan sebagai bapa, ia tidak sepatutnya berlaku. Kegagalan rumah tangga, kehidupan peribadi yang kucar-kacir dan ketidakstabilan karier menyedarkan saya.

“Saya tidak mahu anak membesar dalam suasana tidak sihat. Pasti hatinya hancur jika saya hanyut dalam kancah sosial.

“Lima tahun saya hilang daripada industri disebabkan tabiat buruk ini. Pernah sebelum ini saya cuba bebaskan diri daripada dadah dengan mengikuti beberapa program pemulihan, tapi tak berjaya. Mungkin masuk Pengasih jalan terbaik.
“Lagipun Pengasih badan profesional dan diiktiraf pelbagai pihak. April lalu, Pengasih pernah tawarkan saya mendapatkan rawatan tetapi saya tolak kerana yakin mampu mengatasi sendiri masalah ketagihan ini.

“Bagaimanapun, saya gagal dan diharap keputusan yang saya ambil kali ini boleh pisahkan terus saya daripada dadah,” katanya kepada Metro Ahad.

Menjadikan penyanyi tersohor, Jamal Abdillah sebagai mentor, dia yakin usaha disusuli doa pasti membuahkan hasil positif.

Sikap terbuka Jamal sedikit sebanyak menyuntik keberanian dalam hatinya untuk berterus-terang dan telus dengan masyarakat.

“Setidak-tidaknya saya tidak menipu diri sendiri dan peminat. Ramai artis di Malaysia berdepan masalah seperti saya, tapi mereka hipokrit. Mereka sanggup simpan masalah ini sendirian hingga memakan diri sendiri.

“Saya tidak malu mengaku saya ambil dadah. Sebagai penyanyi, saya hak masyarakat dan menjadi tanggungjawab saya berkongsi cerita ini dengan mereka. Saya tidak melihat ia sebagai perkara mengaibkan.

“Sepanjang di Pengasih, saya akan berkongsi pengalaman supaya ia dapat jadi iktibar dan dalam masa sama memangkin semangat penagih tegar lain untuk sama-sama membebaskan diri daripada cengkaman dadah.

“Jika tiada aral, saya akan abadikan pengalaman saya dalam buku berjudul Seksa Dada dan Rock n Roll. Diharap dalam Pengasih nanti saya dapat berkongsi lebih banyak tips dengan Abang Jamal,” katanya.

Radhi berkata, dia berterima kasih kepada keluarga, bekas isteri, Shazlin Sharif, anak, Mohd Rifdhi Muslim, rakan dan peminatnya yang sentiasa memberi sokongan sehingga menguatkan semangatnya untuk menjalani pemulihan di Pengasih.

“Saya juga mahu memohon maaf di atas segala perlakuan dan masalah yang saya timbulkan sebelum ini. Kepada keluarga, rakan, individu dalam industri muzik dan wartawan... maafkan saya,” katanya.

Ditanya pengalamannya di Pengasih, Radhi mengakui pada peringkat awal sememangnya mencabar, namun tekadnya untuk berubah membuatkan dia bersedia mendepani cabaran yang dilalui.

“Mental kena kuat, tetapi saya tenang di sini. Selain mahu meninggalkan terus dadah, saya juga mahu mendalami ilmu agama yang saya abaikan sebelum ini, termasuk belajar mengaji,” katanya.

Pelakon Antoo Fighter ini tidak ketinggalan menzahirkan rasa syukur apabila Warner Music Malaysia sudi melamarnya sebagai artis syarikat rakaman biarpun kerjaya seninya tercalar teruk dek penangan dadah.

Kepercayaan diberikan syarikat rakaman itu secara tidak langsung melahirkan semangat baru dalam dirinya untuk tampil lebih serius selepas ini.

Kata Radhi, dia sudah merakam beberapa lagu dan single akan diperdengarkan selepas kontrak bersama Warner ditandatangani.

“Saya berbesar hati dengan keyakinan diberi Warner. Mereka faham keadaan saya yang memerlukan sokongan mental dan spiritual. Barangkali pengalaman menjaga Jamal selama lima tahun memudahkan mereka berurusan dengan saya.

“Setakat ini saya selesa dengan Warner. Sebelum keluar dengan album penuh, saya akan hasilkan album kompilasi terlebih dulu. Anggaplah ia sebagai salam pengenalan saya apabila kembali aktif di persada muzik tanah air.

“Biarpun bermastautin di Pengasih, aktiviti seni saya akan berjalan seperti biasa. Saya akan menjayakan persembahan dan merakam lagu di studio tetapi dengan kawalan ketat pekerja Pengasih. Dalam keadaan sekarang, saya perlukan orang untuk mengawasi saya.

“Mohon saya pada rakyat Malaysia, doakanlah saya pulih sepenuhnya. Moga keputusan saya masuk Pengasih menjadi ikutan penagih lain,” katanya yang kini menemui cinta baru.

* dipetik dari Metro Ahad

No comments:

Post a Comment