Klik untuk kembali ke Halaman Utama

18 February 2016

Kelebihan dan FADHILAH surah Al-Kafirun - Siri Keagungan Al-Quran

Surah Al-Kafirun (سورة الكافرون) yang bermaksud orang-orang kafir adalah surah ke-109 dalam Al Quran. Surah yang mengandungi 6 ayat ini telah diturunkan di Makkah (Surah Makkiyah). Nama ‘Al Kafirun’ (orang-orang kafir) diambil dari kata yang terdapat pada ayat pertama surah ini..


Dalam Surah Al-Kafirun ini Allah SWT menegaskan tentang amal ibadat secara Islam danmenolak sebarang cara penyembahan dan amalan syirik. Ia dengan jelas menyatakan tidak ada tolak ansur dan kompromi untuk mencampuradukkan ajaran agama, terutama dalam soal akidah dan ibadah dengan orang-orang kafir. Surah ini telah ditujukan kepada kaum Musyrikin kerana orang kafir tersebut tidak mahu menerima seruan dan petunjuk kebenaran yang dibawakan Nabi Muhammmad SAW kepada mereka.

.
.

Penyangkal Kaum Kafir

Pada masa penyebaran Islam di Mekkah, kaum Quraisy yang menentang Rasulullah SAW tidak putus- putus mencari jalan untuk menyekat pengaruh dan ancaman Islam terhadap kepercayaan nenek moyang mereka. Antaranya mereka telah berusaha mengajukan cadangan kompromi kepada Rasulullah SAW dimana mereka menawarkan; jika Rasulullah SAW bersetuju memuja Tuhan mereka, mereka pun akan memuja Tuhan sebagaimana konsep Islam.

Dengan demikian mereka akan bertukar-tukar mempraktikkan ibadat sehingga salah satu daripada cara mereka terbukti benar. Maka, menurut fikiran kaum kafir, jika ajaran Nabi benar, mereka akan memperoleh keuntungan dan mengikuti ajaran Nabi; tapi, jika cara ibadat kaum kafir benar, maka mereka dan kaum muslim akan mendapat keuntungan dari menyembah berhala-berhala. Kemudian surah ini diturunkan untuk menjawab hal itu.

Daripada Abdullah bin Abbas r.a., Ibn Abi Hatim meriwayatkan bahawa orang Quraisy telah mengundang Nabi SAW untuk memberinya harta yang banyak, sehingga Baginda SAW boleh menjadi orang terkaya di Mekkah dan akan mengawinkannya dengan wanita mana saja yang Baginda sukai. 

Mereka berkata, “Inilah untukmu, wahai Muhammad tetapi (sebagai imbalannya) kamu berhenti menghina tuhan-tuhan kami dan tidak menrendah-rendahkannya. Jika kamu tidak bersedia, maka mari kita bergiliran; kamu menyembah tuhan-tuhan kami selama setahun, lalu setahun berikutnya giliran kami yang menyembah tuhan-mu.”

Maka, Rasulullah SAW menjawab, “Nanti dulu hingga wahyu diturunkan Rabbku kepadaku.” Lalu Allah menurunkan, [Qul Yâ Ayyuhal Kâfirûn] dan juga turun ayat lainnya, iaitu [Qul Afaghairallâhi Ta`murûûni A’budu Ayyuhal Jâhilûn; “Katakanlah, ‘maka apakah kamu menyuruh aku menyembah selain Allah, hai orang-orang yang tidak berpengetahuan.’] -az-Zumar:64

 .
.
.
.
Keutamaan Dan Kelebihan Surah Al-Kafirun
Terdapat banyak hadis yang menjelaskan tentang fadhilat dan faedahnya surat ini, di antaranya:


Surah ini menyamai 1/4 Al-Quran. Jika dibaca ketika naik matahari dan terbenam matahari, nescaya terpelihara dari syirik.

Jika dibaca sebanyak 10 kali ketika naik matahari, kemudian berdoa apa-apa hajat yang dikehendaki. InsyaAllah dikabulkan walau apa hajat sekalipun.

Jika diamalkan selalu surah ini, nescaya semua makhluk suka dan kasih kepadanya.

1. Menyamai Seperempat Al-Qur’an


Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda, “Bukankah kamu hafal (Al Kafirun).?”Orang itu menjawab, “Benar.” Baginda menjawab, “(Ia senilai) seperempat al-Qur’an.” (HR. At-Tarmizi r.a.)


Rasulullah SAW bersabda: “Surah ‘Qul ya ayyuhal kafirun’, sama dengan seperempat Al-Quran.” (HR. Al Hakim).


Ubay bin Ka’b berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kafirun, pahalanya seperti membaca seperempat Al-Quran, ia akan dijauhkan dari godaan syaitan, diselamatkan dari kemusyrikan dan diampuni pada hari kiamat.” (Tafsir Nur Ats-Taqalayn 5/684).


Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang membaca Surah Al Kafirun maka bandingannya seperti membaca 1/4 dari al quran, disamping terlepas dari syirik, terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari peristiwa bencana yang mengejutkan.” (HR. At Tirmizi).

2. Membebaskan Diri Dari Kesyirikan

Riwayat ath-Thabaraniy dengan sanadnya dari Jibillah bin Haritsah, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu telah ke tempat tidurmu, maka bacalah (Al Kafirun) hingga kamu membacanya sampai akhir, sebab ia membebaskan diri dari kesyirikan.” (al-Mu’jam al-Kabir, jld.II, h.278. Al-Haytsamiy berkata di dalam Majma’ az-Zawa`id, jld.I, h.121, “Para periwayatnya telah dinilai Tsiqah.”


Dari Farwah bin Naufal, dari ayahnya ra. bahawa Nabi SAW bersabda: “Bacalah surah Al Kafirun, kemudian tidurlah setelah itu, kerana sesungguhnya itu adalah pembebas (pembersih) dari syirik.” (HR. Abu Dawud, Tirmidzi, An-Nasa’i, Ibnu Hibban, dan Al Hakim).

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila kamu hendak tidur di waktu malam maka hendaklah kamu membaca…(surah al-Kafirun) kemudian tidurlah bila selesai membacanya kerana ia adalah pembebasan daripada syirik.” (H.R. al-Tirmidzi)


3. Sunnah Membaca Bersama Surah Al-Ikhlas

Disunnahkan membacanya dalam solat dua raka’at sebelum Tawaf. Hal ini berdasarkan riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya dari Jabir bahwasanya Rasulullah SAW pernah membaca keduanya. Demikian juga, disunnahkan membaca keduanya pada solat sunat Qabliyyah Subuh berdasarkan hadits dari Abu Hurairah dalam Shahîh Muslim.

Dari Abu Hurairah ra. Berkata, “Rasulullah SAW telah membaca kedua surah ini (Qul ya ayyuhal kafiruun dan Qul huwallahu ahad) dalam solat sunat Fajar.” (HR. Muslim).

Dari Ibnu Umar dikatakan, “Rasulullah SAW membaca surah al-Ikhlash dan al-Kaafiruun dalam dua rakaat sebelum solat Subuh (solat sunat fajar) dan dua rakaat setelah Mahgrib (Ba’diyyah Maghrib) lebih dari 20 atau 10 kali.” (HR. Ahmad)

Dari ‘Aisyah r.ha. Bahawa Nabi SAW bersabda, “Kedua surah itu ialah sebaik-baik surah!”(HR. Ahmad, Ibnu Majah).

Dari Ibnu Masud katanya, “Rasanya tidak dapat saya hitung betapa kerapnya saya mendengar Rasulullah SAW dalam kedua rakaat solat sunat sesudah solat Maghrib dan kedua rakaat sunat sebelum fajar, membaca surah Qul yaa ayyuhal kaafiruun dan Qul huwallaahu ahad.” (HR. Ibnu Majah, Tirmidzi).

Nabi pernah mendengar seorang sahabat membaca surah pertama (Al-Kafirun) pada raka’at pertama, lalu Baginda bersabda, “Orang ini adalah orang yang beriman kepada Tuhannya.” Seterusnya, ia membaca surah kedua (Al-Ikhlash) pada raka’at kedua, lalu Nabi bersabda, “Orang ini benar-benar mengenal Tuhannya.” (HR. Thahawi, Ibnu Hibban dalam Shahihnya di Hasankan oleh Hafizh dalam kitab Al-A’aliyaat).

Imam Ja’far Ash-Shadiq berkata: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kafirun dan surah Al-Ikhlash dalam solat fardhu, Allah akan mengampuni dosanya dan dosa orang tuanya. Dan ia tidak akan melahirkan anak yang celaka, walaupun semestinya anak itu tergolong pada anak yang celaka, Allah SWT menghapusnya dari lembaran catatan orang-orang yang celaka dan menetapkannya di lembaran catatan orang-orang yang bahagia, menghidupkannya dengan kehidupan yang bahagia, mematikannya sebagai syuhada’, dan membangkitkan (dari kuburnya) seperti orang yang syahid.” (Kitab Tsawabul A’mal, hlm 127).

Imam Ja’far Ash-Shadiq, dari ayahnya berkata: “Surah Al-Ikhlash adalah sepertiga Al-Qur’an dan surah Al-Kafirun seperempat Al-Qur’an.” (Tafsir Nur Ats-Taqalayn 5/687).

Dari Ali r.a., “Seekor kala jengking menyengat Rasulullah SAW, Baginda segera meminta air dan garam yang digunakan untuk mengusapnya sambil membaca surah Al-Kafirun, Al-Falaq dan An-Naas.” (HR. Thabrani)..

Maka marilah kita sama-sama beramal, memahami dan menghayati surah al-Kafirun yang senilai dengan seperempat al-Quran ini, dimana ia mengandungi pokok akidah, segala perbuatan hati dan larangan menyembah selain Allah SWT supaya kita dapat menjaga akidah kita supaya tidak syirik kepada Allah Ta’ala.

Dalam bab akidah dan tauhid kita langsung tidak boleh berkompromi atau bertolak ansur kerana akidah ini adalah hak Allah SWT yang tidak boleh disekutukan dengan perkara-perkara syirik kepada-Nya.


Ya Allah! Janganlah Dikau pesongkan hati kami sesudah Dikau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu.

Amin…


* dipetik sepenuhnya dari shafiqolbu.wordpress.com

.

Sultan Melaka WAJAR dikembalikan

Kesultanan Melayu Melaka berkubur pada 1511 dan semenjak itu sebuah empayar Melayu yang begitu gah sehingga disamakan dengan Venice menjadi malap dan hilang sinarnya. Malah tinggalan era kesultanannya juga lenyap sehingga sukar dibuktikan ke mana menghilangnya kekayaan kerajaan ini.

Selepas lebih 500 tahun Melaka tidak bersultan kini muncul pelbagai pihak yang cuba menuntut kembali sebagai pewaris yang sah. Pelbagai versi dilagukan bagi meyakini masyarakat namun sehingga kini tidak menampakkan kesudahannya. Gusar dengan senario semasa yang menggambarkan akan ada pihak lain kelak yang akan menuntut sebagai pewaris yang sah, kerajaan sudah pastinya akan berbuat sesuatu bagi menghalang tuntutan-tuntutan lainnya kelak. 

Tidak habis di situ, malah ada juga beberapa pihak yang mendakwa sebagai Sultan Melaka mula menganjurkan majlis penganugerahan yang memberi darjah kebesaran kepada pengikutnya. Ada juga dakwaan mengatakan muncul beberapa individu yang sedia membayar dengan jumlah tertentu asal saja diberikan anugerah.

Seharusnya tindakan tidak beretika ini wajar disekat agar institusi di-raja yang masih bertapak di Malaysia ini tidak dipermainkan pihak tertentu.  

Namun kini timbul pula persoalan... tidak adakah usaha pihak kerajaan mengembalikan semula kegemilangan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dengan menjalankan kajian lengkap bagi mencari semula pewaris asalnya dan kemudiannya mengembalikan semula Melaka sebagai sebuah negeri bersultan? Apakah tindakan kerajaan yang tidak menghiraukan mana-mana tuntutan dan kemudiannya cuba menghalang mana-mana individu mengistiharkan dirinya sebagai pewaris dilihat kolot dan takut kepada bayang-bayang sendiri?

Kenapa perlu menyekat usaha ini? Apakah pihak kerajaan bimbang kuasa yang dimiliki akan terhapus? Apakah mungkin nanti waris kesultanan yang sah kemudiannya akan menuntut semula empayarnya yang merangkumi seluruh semenanjung Tanah Melayu sehingga ke selatan Siam malah merangkumi sebahagian besar Sumatera kelak? 

Kerajaan seharusnya menggerakkan usaha mencari waris sebenar Sultan Melaka seterusnya mengembalikan semula institusi kesultanan yang dijatuhkan melalui penjajahan asing. Bukankah negara ini sudah lama merdeka? Apa perlu kita mengikut perjanjian yang ditetapkan penjajah dahulu yang meranapkan keagungan kita? Negeri-negeri Selat? Negeri Melayu bersekutu? Riau Lingga? Erm.... lupakan segala titik hitam yang ditinggalkan penjajah.

Percayalah... kekhuatiran terhadap sistem pemerintahan bercorakkan Islam merupakan kata kunci. Mereka tidak mahu melihat kewujudan kerajaan Islam. Mereka tidak mahukan sistem khalifah muncul dalam setiap kerajaan Islam. Mereka tidak mahu Islam mendapat tempat. Mereka sengaja mencipta sistem demokrasi bagi menggantikan sistem khalifah.

Barat datang ke timur sebab perdagangan rempah? Bagaimana rempah begitu berharga sehingga mereka begitu rakus menjelajah dunia dan menguasainya. Kenapa selepas menguasai pelabuhan rempah mereka akan menguasai pelabuhan lainnya. Apakah rempah sebagai penyebabnya? Kita dibodohkan dan kita akan sentiasa dibodohkan mereka!

Islam.... tidak lain dan tidak bukan. Itu sahaja yang sangat mereka takuti. 
Bagaimana?... Lihatlah dengan mata hati. Jangan tanya lagi bagaimana tetapi carilah sendiri jawapannya di depan mata anda. 
Kembalikan semula Institusi Raja di Tanah Melayu ini. Coraklah semula tanah bertuah ini. Bukankah kita telah bebas dan merdeka. Kenapa perlu kita tunduk kepada telunjuk barat lagi. Jangan halang mana-mana pihak yang ingin membuktikan salasilah di raja mereka sebaliknya bantu mereka untuk mencari dan membuktikan waris sebenar. Angkatlah mereka sebagai khalifah kita.  Inilah sebenarnya tugas kita sebagai anak merdeka. 

Tak perlu hamburkan mereka dengan cacian dan makian. Janganlah pula mengatakan mereka gila. Siapa kita untuk memanggil mereka gila. Sempurnakah diri kita? Cerminlah diri sebelum berkata. Sedarlah bahawa diri kita tidaklah sehebat mana pun. Perjanjian? Perjanjian apa? Perjanjian yang diciptakan barat? Sedarkah kita bahawa perjanjian baratlah menjadi punca perpecahan bangsa Melayu di Nusantara ini. Dipecahkan kepada negara, kemudiannya negeri, zon, daerah, kampung, solok malah hingga sekecil-kecilnya. Kenapa? Mereka sangat bimbang kita bersatu.

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ 
إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آَيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena ni`mat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.
Qs.3:103