Klik untuk kembali ke Halaman Utama

08 January 2015

YA RASULLULLAH... KAMI RINDU PADAMU

Gambar sekadar hiasan
Berlalu sudah 12 Rabiul Awal yang disambut dengan perarakan Maulidur Rasul di seluruh Malaysia. Alhamdulillah, masih diberi peluang bagi meraikan sambutan ini untuk mendekatkan diri pada kekasih Allah. Awal pagi telah berhimpun di padang bersama ribuan orang untuk sama-sama berselawat dan kemudiannya berarak dalam kumpulan ke lokasi akhir.

Dari kejauhan para tetamu dan jemputan mengambil tempat duduk khas yang telah disediakan. Kedatangan para pembesar disambut hormat oleh semua dan diberikan kerusi khas di tengah pentas utama. Tersedia juga minuman dan makanan yang dihidangkan di hadapan meja mereka.

Pengerusi mengalu-alukan kedatangan para pembesar dan juga semua hadirin. Majlis dimulakan dengan ucapan beberapa pembesar negeri. Ucapan dimulakan dengan bait-bait penghormatan yang diberikan kepada orang-orang besar dengan penuh terperinci mengikut hierarki mereka. Apa yang pasti bait-bait aluan kepada para pembesar hampir memenuhi 1/8 dari ucapan yang diberikan.

Selesai ucapan makaperarakan pun dimulakan. Para pembesar negeri mengetuai perarakan sambil alunan selawat bergema setiap ruang. Sambil melangkah mereka bersalaman dengan peserta perarakan yang berada berhampiran. Perjalanan sejauh 3.5 kilometer dipenuhi dengan alunan selawat sehinggalah sampai ke Dataran Pusat Islam.

Semua peserta menyertai perarakan sehingga selesai mengikut tertib dan aturannya dan kemudiannya melalui pentas khas yang disediakan untuk para pembesar. Kelihatan para pembesar negeri bersama para tetamu sedang menjamu makanan di meja hidangan yang telah tersedia sambil peserta perarakan melintasi pentas khas mereka. Peserta kemudiannya disediakan makanan dan minuman oleh penganjur.

Inilah scenario perarakan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun. Hati kecil ini tertanya-tanya adakah sambutan ini diadakan bagi melahirkan kecintaan kepada Rasullullah ataupun sekadar satu majlis khas yang diadakan bagi meraikan para pembesar? Sambutan dan penghormatan yang disediakan untuk para pembesar menjadikan seolah merekalah sasaran sebenar majlis ini. Betapa segala persiapan yang diaturkan yang telah dirancangkan lebih awal sebenarnya hanya memberi keutamaan kepada para pembesar.

Mungkinkah kita boleh melakukan perubahan pada majlis sambutan yang akan datang supaya sambutan ini benar-benar memfokuskan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Tidak salah untuk meraikan para pembesar negeri kerana mereka sememangnya berhak mendapatkan layanan sebegitu namun segalanya biarlah berpada-pada. Biarlah majlis-majlis keagamaan yang dilakukan dengan suasana yang lebih ikhlas dan bukannya sekadar memenuhi tanggungjawab bagi meraikan pembesar atau dalam kata lain hanya bertujuan mengampu para pembesar negeri.

Lihat saja majlis-majlis lainnya seperti ceramah, forum perdana dan sebagainya. Semuanya akan berakhir dengan fokus utama diberikan kepada para pembesar. Sambutan, tempat duduk, layanan, jamuan dan segala macam protokol semuanya bertumpu kepada para pembesar malahan para penceramah yang sepatutnya diberikan keutamaan terpaksa dilupakan. Teringat kisah bagaimana sultan-sultan zaman dahulu yang sanggup turun dari singgahsana untuk duduk bersama hadirin lainnya menitip ilmu dari seorang guru.


Senario dan suasana kini jauh berbeza. Dalam hati hanya mampu berdoa agar segala yang dilakukan ini mendapat keberkatan Allah jua.